KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Seorang aktivis didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Iswardy Morni, 47, di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 23 Jan tahun depan untuk mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, sebelum menjatuhkan hukuman.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.
Pada 4 Okt, mahkamah memerintahkan Iswardy membela diri terhadap pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Jan 2022 dan Iswardy merupakan saksi pembelaan tunggal.
Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA