KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Seramai 512,518 wanita mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO Kasthuri Patto berkata jumlah itu membabitkan nilai keseluruhan caruman sebanyak RM61.5 juta, sekali gus mencapai sasaran 100 peratus pertubuhan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Daripada jumlah suri rumah yang mendaftar sebagai pencarum SKSSR, PERKESO telah meluluskan 2,019 kes tuntutan dengan faedah bernilai RM3.9 juta sehingga bulan November lepas.
“Ini membuktikan keberkesanan skim ini dalam menjaga kebajikan suri rumah dan membantu meningkatkan kesejahteraan sosial mereka,” katanya pada sidang media mengenai Pencapaian SKSSR Tahun 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata antara tuntutan kemalangan yang telah diberikan adalah melibatkan bencana domestik iaitu kemalangan semasa menguruskan rumah tangga dan menjaga ahli keluarga, keilatan dan tuntutan kematian.
Kasthuri berkata Selangor merekodkan jumlah pendaftaran secara sukarela tertinggi iaitu 13,546 pencarum, manakala Sabah tertinggi dalam pendaftaran melalui inisiatif kerajaan negeri seramai 88,034 pencarum.
“Walaupun lebih setengah juta suri rumah telah mendaftar SKSSR ini, namun ia mewakili hanya 16.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, dan masih ada lebih 2.6 juta suri rumah yang belum lagi mendaftar untuk perlindungan ini.
“Kerajaan komited dalam usaha melindungi wanita dalam sektor ekonomi penjagaan dengan fleksibiliti pembayaran caruman oleh suami, suri rumah sendiri, ahli keluarga atau pihak ketiga selaras dengan pengenalan kad baucer suri atau scratch card bernilai RM120 yang boleh dihadiahkan kepada warga suri rumah atau sebagai hantaran kahwin,” katanya.
Sementara itu Kasthuri berkata 10 syarikat telah menaja caruman SKSSR berjumlah RM558,360 bagi membantu wanita golongan B40 yang tidak mampu membayar amaun caruman melalui memorandum persefahaman (MoU) antara PERKESO dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Tahun ini juga kerajaan MADANI telah menawarkan pengecualian cukai mengikut peruntukan Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi mana-mana syarikat yang mencarum RM120 untuk pekerja wanita daripada golongan B40 atau melalui suami atau ahli keluarga B40.
“Justeru syarikat swasta di seluruh negara digalakkan mengambil kesempatan menikmati pengecualian cukai pendapatan apabila mereka mencarum untuk pekerja wanita B40 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bagi pengurusan estet-estet untuk mencarum bagi pekerja wanita B40 mereka juga,” katanya.
-- BERNAMA