DUNIA

PLYMOUTH ARGYLE PECAT WAYNE ROONEY

31/12/2024 10:58 PM

ANKARA, 31 Dis (Bernama-AA) -- Plymouth Argyle memecat pengurus mereka Wayne Rooney pada Selasa susulan kebimbangan kelab itu akan tersingkir daripada liga divisyen dua England, Liga Kejuaraan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Plymouth Argyle boleh mengesahkan bahawa kelab dan Ketua Jurulatih Wayne Rooney telah bersetuju untuk berpisah berkuat kuasa serta-merta," menurut kenyataan kelab itu.

"Rooney bersama Penolong Ketua Jurulatih Mike Phelan dan jurulatih pasukan utama Simon Ireland turut meninggalkan kelab," kata Plymouth Argyle sambil merakamkan penghargaan kepada Rooney, 39, atas perkhidmatan dan usahanya.

Sementara itu, Rooney merakamkan penghargaannya kepada semua kakitangan kelab berkenaan.

"Terima kasih juga kepada staf yang membuatkan saya berasa dialu-alukan dan menjadikan kelab ini tempat yang istimewa, pemain serta penyokong atas usaha dan sokongan mereka ketika saya bertugas sebagai ketua jurulatih. Saya mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka," kata Rooney sambil menambah bahawa kelab itu mempunyai "tempat istimewa" di hatinya.

"Saya akan terus mengikuti perkembangan dan keputusan mereka (Plymouth Argyle)," tambah Rooney.

Bekas bintang England dan Manchester United itu mula mengendalikan Plymouth pada Mei.

Namun musim ini, kelab itu mengalami 13 kekalahan daripada 23 perlawanan, menyebabkan mereka berada di kedudukan tercorot Liga Kejuaraan.

Rooney sebelum ini turut dipecat oleh Birmingham City pada Januari selepas hanya mengendalikan 15 perlawanan.

-- BERNAMA-AA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan