AM

CADANGAN IMPORT BERAS DARI PAKISTAN DIBAWA KEPADA BERNAS - SYED ABU HUSSIN

01/01/2025 02:58 PM

BUKIT GANTANG, 1 Jan (Bernama) -- Cadangan  kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan merupakan kaedah yang berpotensi bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata cadangan itu telah disuarakan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) selaku pengimport tunggal beras di negara ini.

“Saya bersama Perdana Menteri ke Pakistan baru-baru ini dan mereka meminta kita untuk beli 100,000 tan metrik beras putih melalui 28 pengeksport yang bersedia menjualnya kepada kita.

“Setakat ini saya telah maklumkan tentang cadangan ini kepada BERNAS melalui keizinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ia masih belum dimuktamadkan untuk kita lakukan tindakan susulan,” katanya melalui panggilan video secara langsung di Dewan Taman Mewah Fasa 1 di sini hari ini.

Pada 3 Okt lepas, Anwar sewaktu sesi lawatan kerja di Pakistan menjelaskan kerajaan bersedia membeli 100,000 tan metrik dari kerajaan pimpinan Shehbaz Sharif, namun kajian lanjut perlu dilakukan terutama membabitkan mekanisme harga.

Anwar dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa selain beras, juga memberi perhatian terhadap pengimportan daging dari negara sama.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang berkata beliau mempertahankan cadangan mewujudkan satu gred harga beras putih bagi mengelak sebarang manipulasi harga beras putih tempatan.

Beliau berkata cadangan itu akan terus dibangkitkan pada sidang Parlimen akan datang bagi memastikan masalah berhubung manipulasi beras putih tempatan ini dapat dileraikan.

“Cadangan awal saya, beras putih tempatan dan import ini disatukan dengan harga RM30 bagi penjualan setiap kampit beras putih seberat 10 kilogram (kg) di seluruh negara.

“Ia bagi mengelak berlaku manipulasi apabila beras putih tempatan itu disatukan dengan beras putih import dan dijual dengan harga yang lebih mahal, sedangkan harga siling diletakkan kepada (kampit) beras putih tempatan 10kg adalah sekitar RM26,” katanya.

--  BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan