PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia melancarkan kempen 'perang' terhadap garam yang bertujuan mengurangkan pengambilan bahan itu dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata pengurangan pengambilan garam penting kerana ia dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik yang membawa kepada kematian pramatang di negara ini.
"Ia adalah pelaburan yang baik, dengan RM1 yang dibelanjakan (untuk memerangi pengambilan garam) dianggarkan ia dapat menjimatkan kira-kira RM60 (untuk sistem penjagaan kesihatan).
"Pada masa ini kami masih merancang dan Bahagian Nutrisi serta Bahagian Kesihatan Awam akan bekerjasama dalam memastikan bagaimana kita hendak memerangi pengambilan garam," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan mandat tahun baharu kepada kakitangan KKM di sini hari ini.
Dzulkefly berkata inisiatif itu merupakan kesinambungan terhadap kempen kementerian sebelum yang mengisytiharkan perang terhadap gula dan rokok bagi mempromosikan gaya hidup lebih sihat kepada masyarakat.
Menurut laporan global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada 2023, jumlah kematian terbesar yang berkait dengan diet, iaitu dianggarkan 1.89 juta setiap tahun dikaitkan dengan pengambilan sodium berlebihan atau lebih dikenali sebagai garam.
Laporan tersebut menekankan mengurangkan pengambilan sodium adalah salah satu cara paling berkesan dari segi kos untuk meningkatkan kesihatan dan mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, kerana ia dapat mengelakkan sejumlah besar kejadian dan kematian berkaitan penyakit kardiovaskular.
-- BERNAMA