AM

63 MANGSA BANJIR DI KELANTAN, JOHOR MASIH BERADA DI DUA PPS

03/01/2025 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Sebanyak 63 mangsa banjir masih berada pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Johor setakat 8 pagi ini. 

Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 36 mangsa banjir di Pasir Mas masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, Rantau Panjang, kekal seperti semalam.

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras waspada, iaitu 7.70 meter.

Di JOHOR pula, jumlah mangsa banjir kekal 27 orang seperti semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Perpat di Kota Tinggi.

"Selain itu, keadaan cuaca di kesemua 10 daerah dijangka cerah pada pagi ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan