KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Seorang buruh binaan warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita di sebuah hotel di Taman Mawar, Puchong pada 31 Dis lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata lelaki berumur 23 tahun itu ditahan di Putrajaya pada 4.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan kenalan mangsa dan mengaku membunuh kerana cemburu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata lelaki terbabit direman hingga 10 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita warganegara Indonesia berusia 39 tahun dalam keadaan berlumuran darah di hotel berkenaan pada 10.15 malam, Selasa lepas.
-- BERNAMA