GEORGE TOWN, 4 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang berharap hubungan ekonomi, pelaburan dan perniagaan dengan negara India terutama Tamil Nadu dapat diperkukuhkan menerusi persidangan Global Organisation of Tamil Origin Meet (GOTO) kali ke-11 yang berlangsung di sini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata persidangan selama dua hari bermula hari ini sangat istimewa kerana buat pertama kalinya diadakan di luar Tamil Nadu.
"Sebagai wakil kerajaan negeri, saya dengan sukacitanya menyambut kedatangan tetamu dan wakil-wakil istimewa dari seluruh dunia, terutamanya Tamil Nadu dan komuniti Tamil dari pelbagai negara yang menghadiri persidangan kali ini.
"Ia bukan sahaja satu pencapaian penting untuk organisasi itu, tetapi ia juga satu detik bersejarah untuk Pulau Pinang. Kita sedang mengukuhkan hubungan jangka panjang dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi antara Tamil Nadu dan India serta Malaysia khususnya Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan persidangan GOTO berkenaan di Dewan Seri Pinang di sini yang turut dihadiri beberapa pemimpin Tamil dari pelbagai negara termasuk India.
Chow berkata persidangan itu merupakan inisiatif penting dalam menyatukan komuniti Tamil di seluruh dunia dan melalui acara itu, ia dapat merapatkan jurang antara negara secara geografi dan ideologi.
Beliau berkata pelbagai acara menarik dianjurkan, antaranya dialog perniagaan, pendidikan dan promosi warisan kebudayaan.
"Saya yakin perbincangan dan perkongsian yang dibentuk menerusi persidangan ini akan membuka jalan untuk masa depan bukan sahaja Pulau Pinang dan Tamil Nadu tetapi masyarakat Tamil global.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya berharap untuk meneruskan kerjasama dengan Tamil Nadu, menjalin hubungan yang lebih mendalam dalam semua bidang kerjasama, terutama perniagaan dan pelaburan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata beliau menyertai persidangan GOTO kali ke-10 di Tamil Nadu tahun lepas dan penganjur memaklumkan mereka mahu mencari lokasi di luar negara pada 2025.
"Saya terus mempelawa mereka untuk menganjurkan persidangan tahun ini di Pulau Pinang dan mereka bersetuju. Jadi bermula hari ini, seramai 1,000 orang Tamil daripada pelbagai negara antaranya Singapura, India dan Myanmar menyertainya. Kita dapat berbincang serta berkongsi pelbagai maklumat di sini," katanya yang berperanan sebagai fasilitator untuk persidangan itu.
-- BERNAMA