EKONOMI

EKONOMI MALAYSIA KEKAL BERDAYA TAHAN PADA 2025 - FMM

08/01/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun ini, didorong oleh permintaan domestik yang baik, aktiviti pelaburan yang rancak serta pertumbuhan dalam eksport dan pelancongan, walaupun terdapat potensi ketidaktentuan global, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pada suku kedua dan suku ketiga 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, masing-masing meningkat kepada 5.9 peratus dan 5.3 peratus. 

Beliau berkata pertumbuhan KDNK negara diunjurkan antara 4.5 peratus dan 5.0 peratus pada tahun ini.

“Bagaimanapun, masih ada risiko termasuk pemulihan yang perlahan di China, potensi perubahan dalam dasar Amerika Syarikat (AS), turun naik harga komoditi global dan tekanan inflasi domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, eksport dijangka terus mencatatkan prestasi yang baik tahun ini, dengan sektor utama seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor, minyak sawit, jentera dan bahan kimia memacu peningkatan ini.

Beliau berkata impak daripada potensi tarif AS terhadap eksport Malaysia dijangka terhad, berdasarkan data sebelum ini.

“Bagaimanapun, inflasi dijangka meningkat kepada kira-kira 3.0 peratus pada 2025, dipengaruhi oleh faktor domestik seperti kenaikan gaji minimum, perubahan dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk pekerja asing, lanjutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta langkah rasionalisasi subsidi.

“Namun, inflasi dijangka kekal dalam julat sasaran Kementerian Kewangan pada 2.0 hingga 3.5 peratus,” katanya.

Soh turut menjangka ringgit kekal kukuh pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan sektor pelancongan yang bertambah baik.

“Faktor seperti penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, perubahan dalam penawaran tenaga kerja dan inflasi akan mempengaruhi pengukuhan mata wang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan