AM

UNIMAP LANCAR PROJEK SUKAN PRESTASI TINGGI, PERKASA PEMBANGUNAN ATLET BERTARAF DUNIA

08/01/2025 03:56 PM

ARAU, 8 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Projek Sukan Prestasi Tinggi (PSPT) dalam usaha memperkasakan pembangunan atlet bertaraf dunia dan memastikan kejayaan yang konsisten di pentas antarabangsa sekali gus memperkukuh reputasi di peringkat global.  

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata inisiatif itu dirancang secara menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada elemen seperti pemilihan bakat secara sistematik, pemantauan aktiviti sukan, pengurusan penarikan diri pelajar daripada kursus serta pengesahan jurulatih yang kredibiliti tinggi.  

“Kami yakin pendekatan komprehensif ini akan menjadikan PSPT sebagai platform unggul untuk melahirkan juara sukan bertaraf dunia yang bukan sahaja membawa nama UniMAP ke persada antarabangsa tetapi juga menjadi kebanggaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad yang kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP dilantik menjadi Pengerusi PSPT UniMAP. 

Beliau berkata PSPT UniMAP itu memberikan fokus kepada 11 acara sukan strategik iaitu olahraga, karate, taekwondo, silat, boling padang, petong, woodball, teqball, tenis, angkat berat dan berbasikal yang dipilih berdasarkan potensinya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.  

"Nazmizan dijangka memainkan peranan penting dalam memacu PSPT ke tahap tertinggi dengan pengalaman luas beliau dalam bidang sukan serta sokongan jurulatih berkaliber," katanya.

Zaliman berkata pelancaran PSPT itu mencerminkan komitmen UniMAP untuk menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam arena sukan selari visi universiti bagi melahirkan individu holistik dan berdaya saing di peringkat global.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan