AM

PENGURUSAN E-WASTE PROSEDUR PENGUATKUASAAN DITINGKATKAN - NIK NAZMI

08/01/2025 06:41 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Pemantapan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) dan pengukuhan prosedur operasi standard berkaitan pengurusan e-waste akan ditambah baik, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Beliau berkata langkah berkenaan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di samping memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam usaha melindungi alam sekitar.

"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius laporan siasatan yang dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Sebagai tambahan, kementerian menegaskan usaha ini melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur dan garis panduan operasi yang meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan, dan penyiasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia sebagai maklum balas kepada laporan EAIC pada 6 Jan lepas yang mendedahkan terdapat cubaan daripada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melepaskan kontena mengandungi sampah elektronik atau e-waste di Pelabuhan Klang.

Menurut EAIC, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kemungkinan salah laku berkenaan sekitar Mei 2024 dan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas selaras dengan Seksyen 17 Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menyiasat dakwaan itu.

NRES melalui JAS turut menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke Malaysia dan dilaksanakan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta 127 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusan.

"Langkah kawalan ini termasuk pemeriksaan ketat di pintu masuk negara, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dan penggunaan teknologi pemantauan terkini bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar atau kesihatan awam.

"NRES kekal komited melaksanakan inisiatif ini sebagai sebahagian usaha memastikan pengurusan buangan yang mampan dan bertanggungjawab demi kelestarian alam sekitar negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan