SUKAN

TANG JIE-EE WEI KE SUKU AKHIR TERBUKA MALAYSIA 2025

09/01/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pilihan ketiga kejohanan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya memerlukan 30 minit untuk mengesahkan tempat di suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pasangan beregu campuran negara itu mudah menyingkirkan gandingan Taiwan, Hung En Tzu-Lu Ming Che 21-8, 21-14 pada perlawanan pusingan kedua untuk menempah pertemuan dengan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun, esok.

“Untuk pemain, kita tidak suka kalah dan ia sama seperti kami. Cuma, kita jangan fikir dulu untuk perlawanan esok.

“Sekarang cuma mahu rehat dan lalui proses pemulihan dengan baik supaya dapat bagi prestasi yang baik kelak,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ee Wei tekad mahu berikan yang terbaik dalam usaha memperoleh kemenangan keempat menentang Midorikawa-Saito.

Pencapaian terbaik gandingan kelima dunia itu ialah pada edisi 2023 apabila mara ke suku akhir, namun tersingkir selepas tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-19. 21-9.

Terdahulu, pasangan bukan pilihan Midorikawa-Saito mengejutkan pilihan kelima dari Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-17, 21-17.

Sementara itu beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai, mengikuti jejak langkah Tan Jie-Ee Wei ke suku akhir selepas menewaskan pasangan India Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath, 21-17, 21-10.

Shevon berkata pengalaman mereka banyak membantu mereka untuk membolehkan mereka ke suku akhir bertemu pilihan kejohanan ketujuh Zhang Chi-Chen Xing dari China yang mengalahkan satu lagi pasangan India Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, 21-13, 22-20.

“Saya rasa pengalaman kami banyak membantu layak ke suku akhir. Kami tidak meletakkan tekanan pada diri sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan