AM

JUALAN RAHMAH DI PERLIS MANFAATKAN LEBIH 124,000 ORANG PADA 2024

10/01/2025 05:44 PM

KANGAR, 10 Jan (Bernama) -- Program Jualan Rahmah di Perlis pada tahun lepas mencatakan nilai jualan sebanyak RM7,215,216.41, memberikan manfaat kepada 124,426 pengunjung, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Rohaida Hassan.

Beliau berkata, program tersebut melibatkan penganjuran 203 acara, terdiri daripada 136 program jualan bergerak, 50 program jualan dalam premis, dan 17 program jualan luar premis atau premium.

Rohaida berkata pemberian subsidi berjumlah RM2,621,196.83 disalurkan menerusi program jualan itu yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah di kawasan pedalaman.

"Harapan KPDN Perlis semoga Program Jualan Rahmah ini dapat merancakkan lagi sektor peruncitan kawasan setempat di samping membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya isi rumah yang berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Pihak kerajaan melalui kementerian telah memperkenalkan Jualan Rahmah secara bergerak supaya inisiatif ini dapat dirasai di seluruh negara, terutamanya di negeri Perlis," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau turut mengharapkan kerjasama yang berterusan daripada pemain industri untuk memastikan matlamat Program Jualan Rahmah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan