AM

KUIH BAKUL NANI MASLINA JADI PILIHAN UNTUK PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA

10/01/2025 05:41 PM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 10 Jan (Bernama) -- Kuih bakul yang dihasilkan seorang suri rumah dari Taman Indera di sini bukan sahaja menjadi pelengkap sambutan Tahun Baharu Cina malah turut menjadi pilihan utama sebagai hadiah untuk rakan dan keluarga sempena perayaan itu. 

Nani Maslina Sulaiman Najidi, 50, yang sudah menceburi perniagaan pembuatan kuih itu sejak 2017  berkata kuih bakul hasil tangannya mendapat permintaan tinggi setiap kali musim perayaan berkenaan.

“Proses membuat kuih bakul ini bukan mudah kerana memerlukan masa memasak hingga 24 jam diikuti pengeringan daun pisang selama tiga hari untuk memastikan kuih tidak berkulat. Cabaran ini memerlukan kesabaran yang tinggi tetapi Alhamdulillah semuanya menjadi lebih mudah selepas beberapa tahun,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata beliau menerima hingga lebih 1,200 biji kuih bakul setiap kali Tahun Baharu Cina dengan menghasilkan kuih seberat 300 gram (g) berharga RM15 yang dibalut daun pisang manakala kuih bakul dalam cawan kertas berharga RM11.

Nani Maslina berkata kebanyakan pelanggan kaum Cina yang membeli kuih bakulnya itu menjadikan kuih itu sebagai hadiah atau hidangan kepada tetamu termasuk rakan mereka beragama Islam sekali gus situasi itu mewujudkan suasana harmoni dan mengeratkan perpaduan pelbagai kaum.

“Mereka menghargai kuih tradisional ini kerana ia menggamit nostalgia, ada juga pelanggan yang membelinya untuk berkongsi dengan pelajar sekolah bagi memperkenalkan makanan tradisional ini,” katanya.  

Nani Maslina berkata bagi memastikan kualiti dan ketahanan kuih bakul itu, beliau menggunakan teknik pembungkusan vakum untuk penghantaran ke luar Perlis meskipun cabaran penghantaran tetap ada termasuk risiko kelewatan yang boleh menyebabkan kuih rosak.  

“Alhamdulillah, maklum balas pelanggan sangat positif. Malah, saya pernah menerima tempahan daripada seorang anak yang mahu memenuhi permintaan terakhir bapanya yang menghidap kanser tahap empat untuk menikmati kuih bakul,” katanya dalam nada sebak.  

Beliau bersedia berkongsi ilmu dan kemahiran menghasilkan kuih bakul kepada generasi muda yang berminat mempelajarinya.  

“Saya harap perniagaan ini dapat menyumbang kepada perpaduan kaum dan memastikan makanan tradisional ini terus dihargai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan