IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa melalui pemeriksaan dan analisis pada kamera papan pemuka kereta Perodua Ativa yang dipandu pegawai kanan polis dalam perlanggaran melibatkan pelajar tingkatan lima pada 18 Dis 2023, mendapati kamera itu pernah diakses sehari selepas kejadian.
ASP S. Dasarathan, 46, yang merupakan saksi pendakwaan ke-33 berkata ia berdasarkan laporan analisis forensik oleh ASP Nur Fairuz Idris terhadap barang kes bertanda AC5.
“Semakan awal oleh saya dan pihak forensik mendapati tiada sebarang rakaman berkenaan kejadian ini.
“Rakaman setakat 19 Dis 2022 manakala dari 20 Dis 2022 hingga 15 Dis 2023 tiada rakaman direkodkan. Hal ini disahkan dengan keterangan yang menunjukkan dashcam (kamera papan pemuka) kereta telah dialihkan semasa pemasangan tint pada kereta terbabit sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pada 18 Dis 2023 yang memasuki hari ke-21 di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet hari ini.
Dasarathan yang merupakan pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata beliau telah mengambil alih siasatan kes itu daripada pegawai penyiasat ASP Chua Sze Yuan pada 18 Dis 2023 melalui arahan yang diterima Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) IPK Perak melalui Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh DSP Mohd Zulkefli Mohd Mukhtar.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kesan tekapan bercorak yang terdapat pada kemeja-T dan seluar panjang Muhammad Zaharif Affendi adalah tidak sepadan dengan cetakan tayar kenderaan Perodua Ativa atau Yamaha 135 LC (motosikal yang ditunggang mangsa).
Katanya, perkara itu berdasarkan laporan kimia hasil analisis oleh ahli kimia yang menyatakan bahawa kesan geseran dan koyakan pada kemeja-T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas serta kasut adalah konsisten bergeser dengan permukaan yang keras dan kasar.
“Walaupun terdapat kesan-kesan tekapan bercorak pada kemeja-T dan seluar panjang terbabit, tidak dapat menentukan sama ada kesan-kesan itu ialah kesan tayar ataupun tidak kerana tiada sampel perbandingan disertakan,” katanya.
Selain itu, Dasarathan berkata berdasarkan hasil pemeriksaan dan analisis ahli kimia terhadap kedua-dua kenderaan itu mendapati kepingan cat asing daripada motosikal serupa dengan spesimen cat putih daripada kereta terbabit.
“Palitan bahan asing hitam daripada kereta adalah serupa dengan spesimen plastik hitam daripada motosikal serta kepingan bahan asing hitam daripada kereta sama dengan spesimen getah tayar belakang motosikal.
“Hasil keputusan dan pendapat berdasarkan kerosakan dan penemuan adalah bahagian belakang motosikal konsisten telah dilanggar dengan bahagian hadapan sebelah kanan kereta,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman serta peguam pemerhati Syaheera Rosli.
Mohd Nazri didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung Selasa ini.
-- BERNAMA