SUKAN

MELAKA PERTIMBANG KEJOHANAN SUKAN ANTARA BADAN BERUNIFORM SEBAGAI ACARA TAHUNAN

11/01/2025 05:52 PM

MELAKA, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Melaka mempertimbangkan untuk menjadikan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform sebagai acara tahunan pada skala lebih besar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pihaknya akan melihat sambutan kepada edisi pertama kejohanan berkenaan bulan depan yang bertujuan memupuk silaturahim di samping menzahirkan penghormatan kerajaan dan masyarakat terhadap jasa anggota badan beruniform.

"Bagaimanapun lokasi penganjuran bukan lagi di Kem Terendak, badan beruniform yang lain pula jadi tuan rumah, bergantung kemudahan serta kesanggupan menjadi penganjur," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.

Turut hadir Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin dan Panglima 10 Briged (Para) Mej Jen Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Ab Rauf berkata beliau yakin penganjuran dua kejohanan itu bermula dengan Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati pada 18 Jan ini yang melibatkan penyertaan lebih 6,000 peserta akan mengukuhkan kerjasama strategik antara badan beruniform, agensi kerajaan dan masyarakat. 

"Acara kemuncak akan berlangsung pada 15 dan 16 Feb di Pantai Tanjung Bidara dengan semua rakyat berpeluang turut serta dalam pelbagai acara sukan yang dirancang termasuk bola tampar pantai dan tarik tali," katanya. 

Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dianjurkan dari 18 hingga 31 Jan dengan enam acara dipertandingkan, melibatkan 3,171 peserta termasuk warga Kem Terendak, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara dan Sungai Udang serta pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar kem berkenaan.

Kejohanan Sukan Badan Beruniform pula dilangsungkan dari 1 hingga 14 Feb, yang akan disertai 3,035 anggota 11 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara Malaysia. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan