KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Inisiatif Kampung Angkat Madani dapat membawa perubahan positif dan meningkatkan kualiti hidup penduduk desa menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak, selain memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata semasa tinjauan awal pihaknya di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, Selangor, yang merupakan kampung angkat kementerian itu, mendapati kawasan tersebut tidak mempunyai dewan yang sesuai untuk membolehkan penduduk melaksanakan program pelancongan budaya dan tradisi serta aktiviti komuniti.
“Mengambil kira keadaan semasa di kampung dan matlamat keutamaan pelaksanaan program ini, Kementerian Komunikasi telah merancang lima skop projek, yang merangkumi pembinaan semula balai budaya; pembinaan semula kantin; pembinaan semula tandas awam; pembinaan baharu ruang niaga dan menaik taraf infrastruktur serta pelaksanaan program keceriaan di sekitar kampung,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di kampung tersebut hari ini.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi, turut bersetuju untuk membangunkan sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional, atau lebih dikenali sebagai NADI.
Katanya pembinaan NADI di Kampung Kelinsing itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing khususnya dan masyarakat sekitar amnya, melalui perkhidmatan yang disediakan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.
NADI berperanan untuk meningkatkan potensi dan kesejahteraan komuniti melalui program yang holistik dan mampan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi komuniti dengan memperkenalkan lima teras perkhidmatan pintar iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta sebagai pusat untuk menyebarluaskan maklumat berkenaan inisiatif kerajaan yang terkini dan tepat.
Dalam pada itu, Fahmi berkata jenayah alaf baharu perlu seiring dengan penguatkuasaan untuk memastikan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan lestari bagi semua pengguna.
Menurutnya lebih 454 kes penipuan yang menggunakan teknik ‘deepfake’ telah berlaku pada tahun lepas, melibatkan kerugian berjumlah RM2.72 juta di Malaysia.
“Penipuan ini berlaku dengan meniru suara kenalan mangsa yang kononnya menghadapi masalah dan berlaku transaksi ke akaun keldai apabila mangsa percaya dengan suara yang disangka benar milik rakannya,” katanya.
Beliau berkata pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas tidak akan menjejaskan pengguna perseorangan kerana kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telah memanfaatkan platform sedia ada untuk tujuan perniagaan, pendidikan dan sebagainya.
-- BERNAMA