SEPANG, 11 Jan (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan mengusahakan agar produk kraf penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing di sini dijadikan cenderahati untuk perwakilan ASEAN yang menghadiri mesyuarat di pelbagai peringkat sepanjang tahun ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau bukan hanya mahu melihat produk kraf masyarakat Orang Asli diketengahkan kepada tetamu antarabangsa termasuk pelancong malah berharap juadah istimewa komuniti itu turut mendapat tumpuan.
“Ini yang saya harapkan (produk-produk kraf tempatan) dan bagi Kementerian Komunikasi, saya akan cuba untuk memperoleh sejumlah daripada produk kraf tangan Kampung Orang Asli Kelinsing dan sekitarnya.
“Kita jangka jumlah pelancong yang ramai dan saya harap ada dalam kalangan pelancong dapat menikmati juadah dan membeli produk kraf tangan dari kampung ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya adakah produk kraf tangan dari Kampung Orang Asli Kelinsing menjadi antara cenderamata untuk perwakilan Mesyuarat ASEAN 2025.
Beliau berkata peluang untuk mempromosikan produk kraf dan makanan masyarakat itu perlu dimanfaatkan sepanjang tahun ini kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Mengenai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang siap dibina di kampung itu, Fahmi mahu kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menyebarkan maklumat mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
“Kita harap NADI ini dapat juga memberikan maklumat tentang acara besar dan rasmi ASEAN dan disampaikan kepada komuniti Madani dan penduduk sekitar,” katanya.
Beliau turut berharap penduduk kampung terbabit memanfaatkan NADI untuk mendapatkan informasi mengenai geran, bantuan daripada kerajaan dan meningkatkan kemahiran keusahawanan e-dagang.
“Kita dapati banyak produk-produk tempatan selain daripada produk kraf tangan berpotensi untuk dipromosi dan dijual contohnya menu ubi kacau.
“Saya harap dengan adanya kemudahan ini (NADI), ia menjadi potensi bagi komuniti Orang Asli di sini dan kawasan sekitar untuk tingkatkan manfaat dan kemajuan bersama,” katanya sambil menambah kos pembinaan NADI adalah sebanyak RM1.8 juta dengan tempoh pembinaan selama limba bulan bermula Ogos lepas.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.
-- BERNAMA