PETALING JAYA, 11 Jan (Bernama) -- Kerjasama pintar bersama pengamal media akan diteruskan dalam memastikan inisiatif dan hasrat kerajaan dapat dikongsi secara lebih tepat kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata ini merupakan antara strategi dalam kerangka reformasi perkhidmatan awam yang direncanakan dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tadbir urus (engagement) dengan pengamal media ini perlu supaya mereka lebih faham dan boleh menguar-uarkan hasrat kerajaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra bersama mereka di pertandingan boling KSN Media Strike Challenge 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir memberi sokongan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan lebih 200 peserta termasuk pengamal media dari pelbagai agensi, pengurusan tertinggi Jabatan Perdana Menteri dan anggota pejabat KSN.
Pertandingan berkenaan yang menyaksikan Shamsul Azri beraksi sepenuh masa, turut disertai Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali dan Ketua Bernama Radio Azlan Idris.
Shamsul Azri yang juga Yang Dipertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) berkata lebih banyak program bersama pengamal media akan dilaksanakan selepas ini bagi memastikan hubungan yang lebih rapat.
“Sebelum ini kita adakan makan malam bersama media, hari ini pertandingan boling dan selepas ini mungkin akan diadakan sukan tahunan. Hari ini Alhamdulillah, semua seronok apabila boleh berkawan tanpa ada penghalang,” katanya.
Pada 27 Ogos lepas, Shamsul Azri memaklumkan pihaknya sedang merencana kerangka reformasi perkhidmatan awam bagi menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat seiring kenaikan gaji penjawat awam.
-- BERNAMA