FOKUS BERNAMA

VETERAN ATM MANFAATKAN ILMU DIBEKALKAN PERHEBAT UNTUK BERGELAR USAHAWAN

13/01/2025 09:45 AM

Isu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terabai, termasuk ada yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang lantaran tidak ada kemahiran lain sekalipun usia masih muda, pernah diangkat oleh penggubal undang-undang di Parlimen beberapa dekad yang lalu. 

Antara lain kata mereka, golongan ini yang menyumbang sekurang-kurangnya 15 tahun daripada usia mereka untuk menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara, perlu dibantu bagi membolehkan mereka meneruskan hidup selayaknya dengan pengorbanan mereka.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang ditubuhkan pada 1994 dan boleh dikatakan baru berusia setahun jagung ketika itu, diberi tanggungjawab memastikan anggota ATM yang bakal bersara daripada perkhidmatan mampu berdikari apabila kembali menjadi orang awam.  

Hasilnya, di bawah bimbingan dan program yang dilaksanakan oleh perbadanan itu, kini, rata-rata veteran ATM dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan teratur.

Bernama menemui tiga daripada mereka yang tinggal di sekitar negeri ini.

  

DARI UDARA “MENDARAT” DI KEDAI DOBI  

Menghabiskan 26 tahun daripada usianya sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, bekas Pegawai Waran Udara 1 Mohd Rizal Mohd Rajab kini menyumbang kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan dobi.

Berbekalkan disiplin dan semangat kental yang dipupuk oleh pasukan keselamatan itu serta latihan yang diberikan Perhebat, usahawan berusia 50 tahun ini berdepan cabaran getir seawal penglibatannya dalam bidang perniagaan tersebut.

pic-2

“Saya buka kedai dobi pada 2020 semasa penularan COVID-19 menghampiri kemuncak dan negara di bawah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Memang mencabar, satunya kerana banyak agensi kerajaan tutup, keduanya nak cari kedai.

“Namun, alhamdulillah, semasa PKP itu ada tempoh jabatan kerajaan dibuka sekejap. Jadi, ketika itulah saya uruskan semua yang berkaitan. Ketika itu juga hanya perkhidmatan dobi sahaja dibenarkan beroperasi, dobi jenis lain (layan diri) tidak dibenarkan,” kongsinya ketika ditemui di premisnya di sini baru-baru ini.

Bercerita tentang minatnya dalam bidang dobi, anak sulung daripada 10 beradik ini berkata arwah ibunya mendidik beliau menjaga kebersihan serta melakukan kerja rumah sejak kecil lagi agar dapat dicontohi oleh adik-adiknya.

“Jadi sebelum bersara, saya lihat semula kemahiran dan minat saya. Dari situ saya tahu, ini (dobi) yang saya boleh buat. Apabila saya tengok kursus-kursus yang ditawarkan Perhebat ada dobi, saya terus pilih bidang itu.  

Mohd Rizal yang berasal dari Endau, Mersing, Johor, berkata beliau menjalani kursus selama 18 bulan di Perhebat Sungai Buloh, Selangor  yang meliputi semua aspek pengurusan perniagaan dobi sebelum bersara.

“Saya juga bersyukur kerana terpilih menerima geran Skim Sokongan dan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar, Kementeri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2023. Dana itu saya gunakan untuk tambah baik peralatan di kedai dobi saya ini,” katanya yang berterima kasih kepada Perhebat Ipoh kerana banyak membantunya dalam mengendalikan perniagaan itu.

Menurut bapa kepada empat orang anak ini lagi, kedainya Loadmaster Laundry menyediakan pelbagai perkhidmatan dobi termasuk mencuci tilam, karpet, sofa dan kerusi kereta. 

“Nama Loadmaster ini juga ada kaitannya denga tugas saya dalam TUDM. Saya bertugas di Unit Kuartermaster (Udara) dan berperanan sebagai loadmaster, iaitu kru paling belakang dalam pesawat kargo. Loadmaster ini semua benda dia buat,” jelasnya.

(Unit Kuartermaster Udara merupakan kru ketiga terpenting di dalam sesebuah pesawat udara tentera atau polis, berperanan menguruskan sebarang tugasan di dalam kabin, dan arahan mereka akan dipatuhi semua termasuk juruterbang, bagi menjamin keselamatan semasa penerbangan.

Menurut Mohd Rizal, Perhebat turut menjadikan kedainya sebagai contoh dan rujukan anggota TUDM yang bakal bersara.

 

BELAJAR DARI KOSONG

Berbeza dengan Mohd Rizal yang tahu hala tuju selepas bersara, bekas anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ini pula tercari-cari bidang yang sesuai dengan jiwa.

“Saya hanya terfikir untuk menceburi bidang perniagaan berkaitan ketukangan dalam tempoh enam bulan terakhir sebelum bersara.

“Semasa kursus enam bulan itu, Perhebat ajar serba sedikit tentang apa yang kita nak buat sebagai kerjaya kedua selepas bersara. Mereka ajar saya dari sifar pengetahuan sehingga dapat buat lakaran dan kemudian cara potong papan,” kongsi Hasrul Affendi Norizan, 44.

Berkhidmat selama 21 tahun dalam TDM, bekas anggota Rejimen Renjer ini tidak menyesal terlibat dalam bidang pembuatan perabot seperti almari pakaian dan kabinet dapur.

pic-3

Menurut pemilik Nadi Furniture Interior Design ini, sebelum memulakan perniagaan itu, beliau terlebih dahulu melakukan “eksperimen” dengan menghasilkan kabinet dapur di rumahnya pada 2021. 

“Saya tanya ahli keluarga, sama ada ‘okey’ atau tidak kabinet dapur yang saya buat. Mereka beri jawapan positif. Kemudian pada 2022, adik perempuan saya minta buatkan kabinet televisyen di rumahnya. Mula-mula risau kerana melibatkan bayaran. Selepas berbincang dengan isteri, saya ambil kekuatan dan terima tempahan itu,” jelasnya.

Bermula dari kabinet televisyen adiknya, beliau mula menerima tempahan daripada orang lain yang suka dengan hasil kerjanya.

“Akan tetapi, setiap perniagaan ada risiko. Saya sendiri pernah tidak ada sebarang projek selama tiga bulan pada 2023. Atas sebab itu jugalah buat masa ini saya tidak menggaji pekerja tetap,” katanya yang mengakui masih bertatih dalam bidang itu.

Pada masa sama, Hasrul Affendi yang turut menerima geran  Skim Sokongan dan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar, memanfaatkan dana RM5,000 tersebut dengan membeli mesin yang dapat meningkatkan pekerjaannya. 

Ditanya tentang perancangannya, bapa kepada empat orang anak ini berhasrat meningkatkan kemahiran agar perniagaannya dapat berkembang.

"Sekarang ini saya hanya buat kabinet berasaskan kayu. Saya nak belajar lagi cara-cara  buat kabinet menggunakan aluminium pula sebab sekarang kita ikut peredaran zaman, (pemilihan) aluminium ini atas faktor ketahanan.

"Saya belum ada pendedahan kepada cara-cara menggunakan aluminium dalam pembuatan perabot. Jika Perhebat ada anjurkan kursus ini saya pasti akan mohon,” katanya yang pada masa ini banyak belajar daripada YouTube bagi meningkatkan kemahiran.

Kepada yang berminat untuk menempah perabot, mereka boleh layari laman sesawang ngkipoh.myshopmatif.com atau aplikasi TikTok @eddy_n.k.g atau talian 011-37421360.

 

HAMPIR DUA DEKAD BERNIAGA

Bagi Ismail Yaacob, 59, yang bersara daripada ATM pada Januari 2006 selepas 22 tahun berkhidmat, beliau tidak menyesal berkecimpung dalam bidang pembaikan basikal hampir dua dekad yang lalu.

“Hajat asal nak buka pasar mini (kedai runcit), jadi dalam tempoh enam bulan sebelum bersara saya sertai kursus dalam bidang peruncitan dengan Perhebat.

pic-4

“Akan tetapi, dalam tempoh itu ada yang datang promosikan basikal, mencetuskan minat saya dalam bidang berkaitan basikal. Tambahan pula, tidak seperti kedai runcit yang ada pelbagai risiko seperi barang rosak, tidak habis dijual dan lain-lain, kebimbangan dalam perniagaan basikal cuma ketiadaan pelanggan,” kongsi bekas anggota Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja, TDM ini. 

Menurutnya, sebelum terlibat dalam bidang pembaikan basikal itu, beliau langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang basikal, apatah lagi untuk membaiki.

“Kemudian saya ikuti kursus luar menerusi Perhebat di Kemaman, Terengganu selama dua minggu. Semasa di situ, saya belajar segala benda tentang basikal,” katanya, menambah berbekalkan ilmu itu beliau memulakan perniagaan membaiki dan menjual basikal.

"Sekarang pun bukan senang nak jumpa kedai basikal biasa. Kalau ada pun lebih kepada basikal ‘high-end’. Saya pula fokus pada basikal budak-budak, berharga RM100 ke RM400,” katanya, menambah perniagaan itu juga “bermusim". 

Umumnya kata Ismail, beliau akan menerima banyak basikal yang dihantar untuk pembaikan sebelum bermulanya cuti sekolah. 

“Ketika musim ini saya jadi ‘pening’ (sibuk) kerana nak uruskan pembaikan dan juga pelanggan seperti kilang dan pihak sekolah yang beli basikal untuk dijadikan hadiah,” ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan beliau datang dari sekitar Ipoh dan Sungai Siput.

Terletak di Taman Klebang Putra di sini, Kedai Basikal Ismail beroperasi setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum dari 10 pagi hingga 7 malam (waktu rehat dari 12 tengah hari hingga 3 petang).

Untuk pertanyaan pembaikan atau alat ganti basikal, beliau boleh dihubungi   di talian 019-2385770.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan