KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Menjadi seorang ibu satu pengalaman tidak ternilai dan bagi kebanyakan wanita Malaysia trend bergelar ibu di usia lebih matang kini semakin normal.
Usia bukan lagi halangan untuk bergelar ibu dengan kemajuan dalam rawatan perubatan, sistem sokongan yang betul, dan penjagaan proaktif.
Peralihan ini mencerminkan keutamaan masyarakat yang lebih fokus kepada pembangunan kerjaya, kestabilan kewangan, dan aspirasi peribadi di samping faktor seperti keadaan kesihatan dan juga perkahwinan kedua.
Data terkini menunjukkan peratusan wanita melahirkan anak selepas usia 35 tahun meningkat daripada 20.8 peratus pada 2017 kepada 23 peratus pada 2022.
Menurut kenyataan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), trend ini menjadikan Malaysia negara kedua tertinggi di Asia Tenggara yang mencatatkan ramai bayi dilahirkan wanita lebih berusia.
Tuntutan kewangan untuk membesarkan anak-anak juga memainkan peranan dalam membentuk trend kehamilan lewat usia. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), anggaran kos membesarkan anak sejak lahir sehingga universiti boleh mencecah hingga RM1.37 juta.
Peningkatan kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak juga mendorong ramai wanita merancang bergelar ibu lebih lambat untuk memastikan kehidupan dan persekitaran lebih stabil untuk keluarga mereka.
Walaupun semua kehamilan mempunyai risiko tertentu, wanita yang hamil selepas usia 40 tahun mungkin menghadapi cabaran tersendiri.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Janin Ibu SMCV Dr Gayathri Mariappa berkata wanita berusia 40 tahun ke atas lebih berisiko mendapat komplikasi perubatan dan obstetrik, termasuk penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, dan penyakit jantung yang boleh meningkatkan risiko untuk ibu dan bayi semasa kehamilan.
"Kajian terbaru menunjukkan terdapat hubungan lebih kuat antara keabnormalan kromosom dan potensi kecacatan kongenital pada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita lebih 40 tahun, risiko ini turut meningkat apabila usia ibu meningkat," katanya.
Selain itu, wanita berusia lebih 40 tahun sering mengalami kesukaran hamil secara semula jadi akibat penurunan kualiti dan kuantiti telur.
Untuk bakal ibu, ujian pranatal tidak invasif (NIPT) yang juga dikenali sebagai pemeriksaan kromosom tidak invasif (NICC) adalah sejenis ujian yang disyorkan untuk ibu mengandung lakukan seawal 10 minggu kehamilan.
“NIPT ialah ujian genetik berasaskan darah yang dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan kromosom dengan menganalisa serpihan kecil DNA janin yang mengalir dalam darah ibu,” kata Dr Gayathri.
Dr Gayathri berkata pemeriksaan awal dan tepat membantu ibu bapa membuat keputusan tentang kehamilan dan menjadikan mereka bersedia untuk rawatan selain kepentingan menjalani pemeriksaan kehamilan awal serta berkala.
"Wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan semasa trimester pertama (semasa kehamilan berusia 10-12 minggu), untuk mengetahui risiko mendapat preeklampsia, masalah kekurangan serviks, diabetes semasa hamil (GDM), dan penyakit yang tidak didiagnosis seperti penyakit buah pinggang atau penyakit jantung," katanya
Dr Gayathri juga menekankan kepentingan peranan bapa dalam memastikan isteri mengalami kehamilan yang sihat dan terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan faktor termasuk merokok dan komposisi badan memainkan peranan penting dalam memastikan kehamilan serta keadaan janin yang lebih baik.
Sementara itu, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan SMCV Dr Farah Leong Rahman berkata wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang tetap dalam ovari mereka, dan kuantiti ini akan beransur-ansur berkurangan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata menjelang usia 40 tahun, kuantiti dan kualiti telur wanita akan menurun dengan ketara, menjadikan peluang untuk hamil semakin mencabar.
Kemajuan teknologi perubatan dan rawatan kini menawarkan kepada wanita yang mengalami kesukaran hamil pilihan seperti persenyawaan in-vitro (IVF) yang dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.
“IVF melibatkan proses untuk merangsang telur untuk membesar, mengeluarkan telur dari wanita, dan melakukan persenyawaan telur dan sperma dalam persekitaran yang sesuai, lalu memindahkan embrio kembali ke dalam rahim. Keseluruhan proses ini mengambil masa kira-kira dua minggu,” kata Dr Farah.
Pilihan rawatan kesuburan lain termasuk ubat hormon untuk merangsang pertumbuhan telur atau inseminasi intrauterin (IUI).
Bagaimanapun, kaedah ini lazimnya mempunyai peratusan kejayaan lebih rendah berbanding IVF.
Dr Farah berkata masalah ketidaksuburan boleh berpunca daripada faktor lelaki dan wanita, menjadikannya penting bagi pasangan yang mahu mendapatkan bayi turut menjalani ujian sperma dan untuk kes kualiti sperma tidak optimum, IVF lazimnya menjadi pendekatan paling berkesan.
Pemeriksaan awal dan tepat itu dapat membantu ibu bapa membuat keputusan tentang kehamilan dan membolehkan mereka bersedia untuk menjalani rawatan yang mungkin diperlukan.
Penjagaan sebelum hamil dan perubahan gaya hidup penting bagi setiap bakal ibu untuk mendapat kehamilan yang sihat
Dr Farah menasihatkan semua wanita mengekalkan gaya hidup sihat, termasuk mencapai indeks jisim badan (BMI) optimum, mengambil makanan seimbang yang ditambah asid folik, kerap bersenam, dan menghindari tabiat merokok dan pengambilan alkohol.
Dengan kemajuan rawatan perubatan, sistem sokongan yang betul, dan penjagaan proaktif, wanita Malaysia kini mempunyai lebih banyak peluang untuk hamil berbanding sebelum ini dan menikmati pengalaman berharga ini.
Daripada pemeriksaan kepada pelbagai rawatan kesuburan, kini usia bukan lagi penghalang mencapai kehamilan sihat dan untuk bergelar ibu.
-- BERNAMA