PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Rakyat di kawasan berisiko di selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak diingatkan untuk berwaspada dan bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir akibat luruan monsun, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata peringatan itu dikeluarkan susulan ramalan hujan lebat berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad lepas melibatkan beberapa kawasan terbabit akibat luruan monsun.
"Amaran dikeluarkan MetMalaysia ini berkuat kuasa hingga 19 Jan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata persiapan bagi menghadapi situasi berkenaan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara sentiasa bersedia untuk hadapi dan (begitu juga) bagi agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
"Kita (kerajaan) sudah minta (agensi terlibat) untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah serta selatan dan barat Sarawak bermula hari ini, susulan analisis terhadap model ramalan cuaca terkini menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka berlaku.
-- BERNAMA