AM

500 TAN METRIK KELAPA SEBULAN DI BAWA MASUK BERMULA FEBRUARI - KPKM

16/01/2025 08:59 AM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan sebanyak 500 tan metrik kelapa akan dibawa masuk ke Semenanjung setiap bulan, bermula Februari.

KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia.

Menurut kenyataan itu langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.

“Pada masa ini, FAMA sedang dalam proses perundingan dengan pembekal baru dan perundingan peningkatan pembelian dengan pembekal sedia ada di Indonesia,” menurut kenyataan KPKM itu.

Di samping itu, KPKM memaklumkan usaha mengenal pasti kawasan baharu pengeluaran kelapa sedang diperluas dengan memberi perhatian kepada kawasan produktif di Sabah dan Sarawak.

“FAMA turut mengenal pasti kawasan pengeluaran kelapa di Sabah dan Sarawak untuk dibawa ke Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha memperkukuh industri itu, KPKM memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Pertahanan melalui pelaksanaan Projek AgroDefence akan memfokuskan penanaman kelapa pada tanah milik Kementerian Pertahanan, yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman kelapa.

Kenyataan itu memaklumkan projek itu akan memanfaatkan tanah yang tidak digunakan secara optimum untuk pertanian bagi meningkatkan pengeluaran domestik kelapa.

Pada masa yang sama, KPKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menceburi industri berkenaan.

“Selain itu, para petani dan usahawan yang berminat untuk mengusahakan tanaman kelapa boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jabatan Pertanian untuk khidmat nasihat teknikal berkaitan,” menurut kenyataan itu.

KPKM juga menyeru semua pekebun kecil kelapa di semua daerah untuk menghantar dan mengumpulkan hasil tanaman kelapa di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian yang dikelola FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara, bagi akses pasaran yang lebih luas dan menjamin harga jualan yang kompetitif bagi pekebun kecil.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan