AM

KERAJAAN PUJI USAHA PENJAWAT AWAM MENJELANG PERMUKIMAN AMM - SHAMSUL AZRI

16/01/2025 11:26 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan hari ini melahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam kerja dan persediaan menjelang Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) pada 18 dan 19 Jan, di sini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan acara pertama yang menandakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mencerminkan konsep pendekatan keseluruhan kerajaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid, serta semua yang terlibat termasuk daripada Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Langkawi, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam. Semua pihak berganding bahu dengan baik,” katanya.

Shamsul Azri, yang tiba di Langkawi pada Khamis untuk meninjau persiapan bagi Permukiman AMM berkata perancangan untuk acara itu berjalan lancar setakat ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelepasan 30 kereta e-hailing daripada tiga syarikat korporat iaitu Grab Malaysia, MyCar dan RODEO yang turut mengambil bahagian dalam mempromosikan Kepengerusian Malaysia di Kompleks Lang Merah.

Mengenai penglibatan syarikat korporat, Shamsul Azri melahirkan penghargaan terhadap usaha murni mereka dalam meraikan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata syarikat itu berbangga dapat menyokong peranan kepimpinan kerajaan dalam memperjuangkan visi ASEAN “Keterangkuman dan Kemampanan” ketika Malaysia memulakan tugasan selaku Pengerusi ASEAN.

“Ini selaras dengan misi kami untuk memperkasakan komuniti melalui teknologi yang mudah diakses dan penyelesaian inovatif, memacu masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

"Kami berharap dapat bekerjasama untuk mencipta peluang bermakna bagi komuniti di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen berkata ini merupakan kali pertama syarikat e-hailing milik bumiputera itu terlibat dengan ASEAN.

“Kami menyediakan 10 kereta untuk mempromosikan ASEAN di Langkawi. Untuk acara ini, kami menawarkan kod promosi diskaun RM2 untuk satu perjalanan,” katanya, sambil menambah MyCar mempunyai 1,700 pemandu berdaftar di Langkawi.

Selain itu, beliau berkata MyCar yang memulakan operasi pada 2017, sebelum ini terlibat sebagai rakan strategik dalam beberapa acara rasmi seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Malaysia secara rasmi menyandang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan. Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun. Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan