AM

EKOPELANCONGAN, PELANCONGAN MAPAN MASA DEPAN INDUSTRI PELANCONGAN RANTAU INI

17/01/2025 07:54 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan (NTO) ASEAN+3 Ke-46 mengenal pasti ekopelancongan dan pelancongan mapan sebagai antara perkara yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di rantau ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman berkata antara produk ekopelancongan yang sedang dipergiatkan ialah program inap desa yang telah dipelopori oleh Malaysia.

“Malaysia telah adakan program inap desa ini agak lama dan kita punya inap desa sekarang ini sistematik. 

“Kita ada persatuan inap desa dan yang bagusnya inap desa ini ia berasaskan komuniti, semuanya kongsi bersama. Katalah satu kampung itu boleh kongsi dan adakan satu koperasi, jadi perkara ini kita galakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat NTO ASEAN+3 Ke-46 di sini hari ini.

Beliau berkata selain ekopelancongan, mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa pelancongan mapan harus diberi perhatian demi kesinambungan industri pelancongan.

“Begitu juga dengan memelihara dan memulihara kawasan pelancongan yang kita ada, flora dan fauna,” katanya.

Roslan berkata antara usaha Malaysia untuk menggalakkan pelancongan mapan adalah dengan mengenengahkan Beruang Matahari sebagai maskot Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kita nak memulihara supaya Beruang Matahari ini tak pupus dan kita dapat memperkenalkan perkara ini kepada masyarakat di Malaysia,” katanya.

Mesyuarat yang bermula kira-kira 9 pagi disertai oleh Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, China, Korea Selatan dan Jepun itu, adalah sebahagian daripada intipati program Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang sedang berlangsung di Johor.

Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.

Penganjuran kali ini amat signifikan memandangkan Malaysia pada tahun ini menyandang jawatan Pengerusi ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan