JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Perundingan Pelancongan ASEAN-Rusia kali ke-15 hari ini telah mengenal pasti beberapa cabaran yang perlu ditangani bagi memudahkan kehadiran pelancong dari negara itu ke rantau ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman berkata cabaran berkenaan termasuk sekatan ekonomi terhadap Rusia yang telah memberi kesan kepada pelancong dari negara itu.
Beliau berkata mesyuarat turut menyentuh kaedah pembayaran alternatif yang boleh digunapakai untuk pelancong Rusia di negara ASEAN kerana kebanyakan pelancong kini bergantung kepada kad untuk membayar sesuatu perkhidmatan.
“Ini antara perkara yang kita telah bincang… yang boleh diambil untuk kita menambahkan lagi daya tarikan ASEAN kepada pelancong Rusia. Insya-Allah, kita akan bawakan perkara ini kepada mesyuarat Menteri (Pelancongan) nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Mesyuarat kira-kira dua jam yang disertai Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam serta Rusia sebagai rakan dialog itu, adalah sebahagian daripada inti pati program Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang sedang berlangsung di sini.
Mengenai Mesyuarat Kumpulan Kerja Pelancongan ASEAN-India kali ke-33 yang turut diadakan hari ini, Roslan berkata ia bertujuan meningkatkan lagi aktiviti pelancongan antara negara ASEAN dan India.
ATF 2025 yang bermula sejak Rabu hingga 20 Jan, bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan dan meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlah pelancong yang mengunjungi ASEAN.
Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.
Penganjuran kali ini amat signifikan memandangkan Malaysia pada tahun ini menyandang jawatan Pengerusi ASEAN.
-- BERNAMA