AM

LIPUTAN RANGKAIAN 5G TURUT FOKUS KAWASAN BERIMPAK TINGGI SEPERTI ZON PERINDUSTRIAN - FAHMI

19/01/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Tumpuan capaian perkhidmatan rangkaian 5G bukan bagi mencapai liputan 100 peratus semata-mata, sebaliknya turut memberi fokus kepada kawasan yang boleh memberi manfaat maksimum seperti zon perindustrian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ketika ini kementeriannya telah mengenal pasti lebih 67 kawasan zon perindustrian yang akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan rangkaian teknologi berkenaan.

“Untuk rangkaian 5G, fokus tidak semestinya untuk capaian 100 peratus. Fokus kita adalah beberapa kawasan yang kita lihat boleh menerima manfaat paling banyak, contohnya di kawasan-kawasan perindustrian.

“Ini supaya syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang boleh memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet yang (berkelajuan) tinggi dan selamat.

“Jadi fokus kita selepas ini adalah untuk memastikan sektor-sektor yang boleh menerima manfaat paling besar daripada kelajuan internet 5G, mereka boleh menempahnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa di sini, hari ini.

Fahmi berkata pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G berkenaan juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) yang dijadualkan berlangsung 12 Feb depan.

“Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G, sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad atau yang kedua di bawah U Mobile,” katanya.

Semalam Fahmi dilaporkan berkata liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain itu beliau berkata kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat bagi tempoh sama telah mencapai 53.35 peratus, melonjak hampir lima kali ganda berbanding 10.8 peratus pada Oktober 2023.

Mengenai program hari ini, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihaknya telah menyediakan sumbangan untuk lebih 700 keluarga bagi meringankan beban serta menceriakan suasana mereka sempena Tahun Baharu Cina.

Dalam ucapannya beliau turut mengingatkan orang ramai terutama warga emas supaya sentiasa berwaspada terhadap scammer yang sentiasa mencari peluang untuk menjalankan kegiatan jenayah di musim perayaan.

“Pada waktu-waktu tertentu, scammer sangat cekap untuk melihat trend dalam kalangan pengguna. Contohnya sebelum musim haji, scammer akan sasar mereka yang menyimpan di Tabung Haji. Kalau Tahun Baharu Cina, kemungkinan besar scammer akan mula mencari mangsa dari kalangan mereka yang akan menyambut perayaan itu.

“Jadi pesanan saya adalah sentiasa berhati-hati sekiranya anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan apa-apa yang dibangkitkan tidak masuk akal atau luar daripada kebiasaan… jangan terlalu mudah percaya... sekiranya anda menjadi mangsa segera telefon 997,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan