PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia menggesa penubuhan Pasukan Petugas Jenayah Siber ASEAN yang mirip Interpol untuk memudahkan pertukaran maklumat secara masa nyata dan kerjasama serantau dalam menangani ancaman digital dengan berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata pengembangan pesat ekonomi digital memerlukan rangka kerja keselamatan yang lebih dinamik, dengan memberi amaran bahawa penjenayah siber kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan web gelap untuk melancarkan serangan yang lebih sofistikated.
“Walaupun perbincangan adalah penting, pelaksanaan adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Saya menggesa semua pihak berkepentingan - kerajaan, agensi penguat kuasa undang-undang, dan pemimpin industri, untuk mengambil tindakan konkrit dalam beberapa bidang utama.
“Pertama, kita mesti melaksanakan pemantauan polis berasaskan AI dan pengawasan bandar secara masa nyata untuk mengesan dan mencegah ancaman keselamatan secara proaktif,” katanya dalam ucapan beliau.
Ahmad Zahid juga menggesa penubuhan sistem pengesahan identiti berasaskan blok rantai di peringkat nasional, yang penting untuk melindungi transaksi dalam talian dan mengurangkan penipuan identiti.
Timbalan Perdana Menteri turut menggesa pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta memupuk kerjasama antara kerajaan, syarikat korporat, dan firma teknologi bagi mempertingkatkan keselamatan siber dan keupayaan perkongsian maklumat perisikan.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tetap komited untuk membina ekosistem keselamatan yang selamat, berdaya tahan, dan bekerjasama, bukan hanya untuk negara tetapi juga untuk rantau ASEAN dan lebih luas lagi.
Ahmad Zahid turut menekankan sumbangan Malaysia kepada rangka kerja keselamatan serantau, termasuk peranan aktif negara dalam ASEANAPOL dan INTERPOL, yang katanya telah memainkan peranan penting dalam memutuskan rangkaian sindiket jenayah transnasional.
Beliau berkata dalam Mesyuarat Menteri ASEAN mengenai Jenayah Transnasional (AMMTC), Malaysia telah menegaskan semula komitmennya untuk melaksanakan Pelan Kerja SOMTC + China, yang bertujuan untuk memperkukuh rangkaian perkongsian maklumat perisikan dan menyelaraskan respons terhadap ancaman siber serta aktiviti haram lain.
"Kerjasama keselamatan dengan negara jiran ASEAN kita adalah sangat penting, dan kita mesti memastikan rangkaian perisikan kita berkembang selari dengan ancaman keselamatan yang semakin meningkat," katanya.
Sepanjang tahun lalu, Malaysia merekodkan kerugian kewangan melebihi RM1.22 bilion akibat jenayah siber, bersama-sama dengan berjuta-juta ancaman siber yang dikesan, menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh ketahanan siber.
Sementara itu, beliau menggalakkan pemain global untuk mempertimbangkan pengunaan teknologi kepolisan moden dan peralatan canggih. Menyeimbangkan langkah-langkah keselamatan yang kukuh dengan menghormati kebebasan sivil adalah penting bagi mengekalkan rangka kerja keselamatan global yang adil dan saksama.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sidang Kemuncak AISSE25 ini berperanan sebagai pendahulu kepada Sidang Kemuncak ASEANGCC yang sangat dinanti-nantikan, dijadual berlangsung pada Mei 2025, menonjolkan peranan penting Malaysia dalam merapatkan hubungan antara rantau dan memperkukuh perkongsian untuk kemakmuran bersama.
-- BERNAMA