Daripada D. Arul Rajoo
BRUSSELS, 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Belgium, Alexander De Croo.
Pertemuan itu yang diadakan di pejabat De Croo itu juga dihadiri pegawai daripada kedua-dua pihak.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut hadir Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak.
Perdana Menteri sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Belgium.
Sementara itu, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata pertemuan bersama De Croo itu membincangkan beberapa perkara berkaitan pendidikan, pelaburan dan perdagangan.
"Ia termasuk (perbincangan mengenai) Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Kesatuan Eropah selain isu antarabangsa antaranya krisis di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine.
"Kami percaya, dan senada untuk terus memperkukuh hubungan dan membentuk sinergi kerjasama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat," kata Anwar.
-- BERNAMA