KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai persoalan mengenai kiraan pencen susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) boleh berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM untuk penerangan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata JHEV ATM ada membuka war room bagi tujuan itu agar veteran terlibat mendapat pemahaman lebih jelas bagaimana kiraan kadar baharu pencen mereka dibuat.
Adly berkata sebelum penyelarasan pencen itu dibuat, pihaknya telah memaklumkan kepada veteran terlibat mengenai formula dan kaedah pengiraan yang digunakan bagi menentukan kadar baharu pencen yang diterima.
"Kalau ada persoalan berbangkit (mengenai) pendapatan atau kaedah pengiraan itu, saya fikir JHEV sentiasa terbuka untuk terima aduan mahupun bagaimana pengiraan dibuat," katanya dalam sidang media pada Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pertahanan di sini hari ini.
Pada November lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan veteran yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus pada Disember lepas berdasarkan gaji akhir pada 2012.
Pada majlis berkenaan, seramai 38 veteran dari Zon Tengah diraikan, mewakili 292 veteran yang mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi.
Kesemua mereka turut menerima Ganjaran Hilang Upaya antara RM6,000 hingga RM72,000 secara sekali bayar mengikut peratus kecederaan individu yang mereka alami.
Mengulas mengenai veteran yang mengalami kehilangan upaya kekal semasa operasi atau semasa latihan risiko tinggi, Adly berkata bayaran pencen hilang upaya (PHU) akan dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai bulan ini kepada semua penerima.
Beliau berkata turut menikmati kadar baharu mulai bulan ini adalah elaun pelajaran kepada anak penerima PHU dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun, manakala elaun layanan sentiasa pula dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan.
Kadar baharu berkenaan adalah sebagai menghargai segala jasa, sumbangan dan pengorbanan yang telah diberikan oleh para veteran ATM kepada negara, tambah beliau.
-- BERNAMA