KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan proses penghantaran pulang 127 rakyat Palestin termasuk 41 individu cedera yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata penghantaran pulang warga Palestin berkenaan turut melibatkan beberapa pihak di Malaysia, Palestin dan Mesir.
"Jadi, kita dalam proses memperkemas dan sedang memuktamadkan penghantaran. Kita mengambil tanggungjawab itu (merawat warga Palestin yang cedera) ketika mereka dilanda peperangan dan memastikan mereka berada dalam kesihatan lebih baik," katanya dalam sidang media pada Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pertahanan di sini hari ini.
Adly berkata gencatan senjata antara Israel dengan Palestin yang bermula semalam, memberi peluang kepada warga Palestin berkenaan untuk kembali ke tanah air mereka.
"Pada masa sama, Kementerian Pertahanan akan terus menyokong usaha membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza," katanya.
Ditanya tarikh penghantaran itu akan dibuat, Adly berkata ia bergantung pada kerjasama daripada pihak Kedutaan Palestin dan kerajaan Mesir.
Pada 16 Ogos tahun lepas, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza untuk menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini manakala saudara-mara mereka yang lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penghantaran pulang warga Palestin itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu lepas.
Penghantaran pulang mereka diuruskan Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan.
-- BERNAMA