Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 20 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Seah Kian Peng di sini pada Isnin sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke negara anggota ASEAN yang bertujuan mengukuhkan hubungan dan membincangkan kerjasama strategik antara institusi parlimen di rantau ini.
Johari, yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46, berkata pertemuan ini bagi membincangkan beberapa isu utama, termasuk kerjasama dalam kalangan negara anggota berkenaan tenaga boleh diperbaharui, keterjaminan makanan, dan inovasi.
“Bagaimana kita dapat memaksimumkan potensi tenaga boleh diperbaharui? Negara-negara Asia Tenggara mempunyai semua elemen untuk meneroka keupayaan ini.
“Dari segi keselamatan makanan, kita boleh menggabungkan kepakaran untuk memaksimumkan keupayaan, manakala untuk inovasi, kita boleh bekerjasama mempertingkatkan pengetahuan teknikal dengan memanfaatkan AI (kecerdasan buatan) untuk memacu ekonomi,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan di sebuah hotel di sini.
Mereka turut membincangkan peranan badan perundangan, seperti Parlimen, dalam menyokong kerajaan memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan pertukaran antara rakyat sesama negara ASEAN bagi memperkukuh blok serantau itu.
Dalam pertemuan itu, Johari turut secara rasmi menjemput Seah ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini.
Malaysia juga akan menjadi tuan rumah untuk beberapa mesyuarat AIPA lain tahun ini, termasuk Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita AIPA di Sarawak, Mesyuarat Perundingan Kedua Ahli Parlimen Muda AIPA di Selangor, dan Mesyuarat Kelapan Majlis Penasihat AOPA Mengenai Dadah Berbahaya di Melaka.
Johari berkata agenda AIPA tahun ini akan melengkapi tema Kepengerusian ASEAN yang disandang Malaysia tahun ini, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.”
Selepas Singapura, Johari akan melawat Brunei, Filipina, dan Indonesia sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke negara ASEAN.
-- BERNAMA