JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Zulfadhli Zulkarn’ain merangkul Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) bagi kategori Foto Pelancongan ASEAN Terbaik.
Mohd Zulfadhli, 32, yang bertugas di biro Perak berkata beliau tidak menjangkakan gambar memaparkan seorang lelaki menolak kereta sorong berisi arang dipilih untuk pengiktirafan itu.
Detik itu dirakamkan beliau di kilang memproses arang antara yang tertua di Malaysia di Kuala Sepetang, Taiping pada 30 Sept lepas.
“Ini merupakan pencapaian tertinggi dalam kerjaya saya...ia anugerah bertahap antarabangsa pertama yang saya sertai.
“Saya tidak menjangkakan untuk menang dan pastinya anugerah ini akan terus menggalakkan saya untuk menyertai pertandingan pada peringkat antarabangsa,” katanya selepas menerima anugerah itu di sebuah hotel, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru jurufoto supaya terus berkarya dan tidak takut untuk menghantar penyertaan ke pertandingan khususnya di peringkat antarabangsa kerana ia memberikan kelebihan kepada kerjaya mereka.
Mohd Zulfadhli turut berharap anugerah itu akan terus meletakkan Bernama sebagai agensi media yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden ASEANTA Eddy Krismeidi dan Pengerusi Anugerah Kecemerlangan ASEANTA Oknha Chhay Sivlin.
Malaysia turun memenangi lima lagi anugerah iaitu menerusi Suka Travel & Tours Sdn Bhd yang meraih Program Pelayaran ASEAN Terbaik, Resorts World Genting (Tarikan Pelancongan Baharu ASEAN Terbaik), LOCCO (Usaha Pemeliharaan Budaya ASEAN Terbaik), Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (Pusat Konvensyen ASEAN Terbaik) dan Borneo Trails Tour and Travel Sdn Bhd bagi Program Ekopenginapan ASEAN Terbaik.
Sementara itu Eddy dalam ucapannya berkata sejumlah 12 kategori dipertandingkan antaranya meliputi rencana perjalanan terbaik, program syarikat penerbangan terbaik, program pemasaran dan promosi terbaik, pakej hotel terbaik, operator pelancongan terbaik dan program kemampanan terbaik.
“Anugerah ini bukan sahaja tentang pujian, ia tentang memberi penghormatan kepada semangat inovasi, dedikasi kepada kelestarian dan usaha berterusan ke arah kecemerlangan yang mencerminkan sektor pelancongan ASEAN.
“Pemenang malam ini bukan sahaja menetapkan standard baharu tetapi juga memberikan inspirasi untuk melangkau sempadan dan melonjakkan rantau kita ke tahap lebih tinggi,” katanya.
ASEANTA merupakan acara utama yang meraikan pencapaian terbaik industri pelancongan Asia Tenggara sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025.
ATF 2025, yang berlangsung di sini dari 15-20 Jan, bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, membina rangkaian berharga dan memperkukuh kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi meningkatkan bilangan pelancong ke ASEAN.
-- BERNAMA