IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita berusia 48 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Bintang, Sitiawan dekat Manjung sejak 10 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kehilangan Ling Siew Siew disedari selepas kakak dan abang ipar mangsa datang untuk melawatnya yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan.
“Kakak dan abang ipar mangsa memaklumkan kali terakhir mereka bertemu dengan mangsa adalah pada 10 Jan lepas di sebuah gereja berhampiran kampung Cina di kawasan itu.
“Mangsa dipercayai memandu kereta Perodua Axia berwarna biru dan nombor pendaftaran AMV 5568 keluar daripada rumahnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Ling yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu mempunyai masalah kemurungan dan masih menerima rawatan di Hospital Manjung.
“Pihak kami masih meneruskan pencarian mangsa yang dipercayai telah keluar melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran kawasan Changkat Jering,” katanya.
Hasbullah berkata Ling berketinggian 155 sentimeter dan mempunyai berat 60 kilogram, berambut pendek berwarna hitam serta berkulit kuning langsat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lokasi wanita terbabit diminta untuk menghubungi Ketua Polis Balai Kampung Koh, Hishamuddin Md Isa di talian 019-3664 181, Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886 222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA