Oleh Danni Haizal Danial Donald dan Karina Imran
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah selepas Presiden Donald Trump dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden ke-47, tidak mengumumkan sebarang tarif baharu, khususnya ke atas China.
Pada jam 8 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.4650/4815 berbanding dolar AS yang meningkat daripada 4.4910/4960 pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 1.16 peratus kepada 108.082 mata selepas ucapan Trump dalam majlis angkat sumpahnya, malam tadi.
“Tiada sebarang pengumuman khusus mengenai kenaikan tarif ke atas China. Namun Wall Street Journal melaporkan Presiden Trump berhasrat mengeluarkan memorandum (pekeliling) yang mengarahkan agensi Persekutuan mengkaji semula dasar dan hubungan dagangan sedia ada dengan China, Kanada dan Mexico.
“Dalam erti kata lain, tarif itu akan ada tetapi lebih kepada kaedah,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata tumpuan Presiden AS ke-47 akan menjadi dasar pertama negara maju itu yang dijangka melibatkan dasar propertumbuhan.
“Perkembangan itu melegakan pasaran kewangan hari ini, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini. Keadaan itu sepatutnya merangsang ringgit hari ini walaupun peniaga dan pelabur akan kekal berhati-hati,” katanya.
Melontarkan nada sama, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata selain mengelak daripada mengumumkan tarif baharu, tindakan Trump mengarahkan agensi Persekutuan mengkaji semula dasar tarif sedia ada serta hubungan perdagangan lebih meluas juga menandakan pendekatan yang lebih terukur.
“Namun, perlu diingatkan bahawa pasukan perdagangan Trump masih belum disahkan, sekali gus menunjukkan butiran dasar itu sedang dirangka.
“Meskipun tiada impak serta-merta, perkembangan di peringkat perdagangan berkemungkinan besar akan wujud," katanya.
Mohd Sedek berkata peningkatan Indeks Dolar Asia kepada 89.7446 pada awal dagangan sebelum stabil pada 89.6895, menunjukkan ringgit berkemungkinan besar dibuka lebih mengukuh berbanding dolar AS.
Dalam pada itu, ringgit dibuka menyusut berbanding mata wang utama lain.
Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.6530/6702 daripada 4.6307/6358, susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5058/5261 daripada 5.4723/4784 dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8764/8874 daripada 2.8741/8774.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit kebanyakannya lebih mengukuh.
Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0850/1445 daripada 13.0948/1155, naik berbanding rupiah Indonesia pada 272.7/273.9 daripada 274.3/274.8, mengukuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.66 daripada 7.67/7.68.
Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura pada 3.2947/3074 berbanding 3.2899/2938 pada Isnin.
-- BERNAMA