EKONOMI

PERMINTAAN DOMESTIK, TEKNOLOGI DAN PELABURAN STRATEGIK PACU PERTUMBUHAN 2025 MALAYSIA

21/01/2025 11:58 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia dijangka mengekalkan keteguhan pertumbuhan ekonomi pada 2025 walaupun menghadapi cabaran luar, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, lonjakan pelaburan asing dan pemulihan dalam permintaan teknologi global.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.0 peratus pada 2024, sama dengan pertumbuhan Indonesia tetapi dibelakang Vietnam dan Filipina, menurut Ketua Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) Dr Hoe Ee Khor.

“Momentum ini dijangka berterusan, disokong oleh kenaikan gaji, bantuan tunai kerajaan termasuk keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, yang akan meningkatkan penggunaan domestik.

“Projek infrastruktur awam seperti Laluan Rel Pantai Timur, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura, dan Lebuhraya Pan Borneo turut menjadi penyumbang utama,” katanya kepada Bernama.

Asas eksport Malaysia yang pelbagai, khususnya dalam elektronik dan semikonduktor, bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan berterusan dalam kitaran teknologi global.

“Jualan semikonduktor global akan menokok sebanyak dua digit pada 2025, memungkinkan Malaysia memanfaatkan perkhidmatan pemasangan serta ujiannya walaupun pendedahannya kepada cip canggih kecerdasan buatan adalah terhad.

“Fokus strategik negara untuk menjadi hab serantau bagi ekonomi digital serta teknologi hijau terus menarik pelaburan daripada gergasi teknologi global seperti Google, Amazon Web Services dan Microsoft.

“Pempelbagaian daripada sektor tradisional seperti minyak dan gas semakin mengukuhkan ketahanan ekonomi Malaysia sambil memajukan matlamat kemampanannya,” katanya lagi.

Khor berkata Malaysia akan mendapat keuntungan daripada penstrukturan semula rantaian bekalan global memandangkan ketegangan geopolitik telah mendorong syarikat multinasional untuk menerima pakai strategi “China plus one”, dengan asas perindustrian negara yang mantap, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan persekitaran politik yang stabil menjadikannya sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan langsung asing.

Dari segi perdagangan, eksport Malaysia kekal berdaya tahan berikutan portfolio produk dan pasaran yang pelbagai, katanya.

“Rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang kukuh termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE yang baru dimeterai dan tidak lama lagi-FTA Malaysia-Korea Selatan yang akan dimuktamadkan, sedang meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global.

“Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia dijangka akan mengeratkan hubungan ekonomi dalam rantau ini dan seterusnya, terutama dengan Majlis Kerjasama Teluk,” katanya.

Di sebalik perkembangan positif ini, Malaysia menghadapi risiko daripada kemungkinan kenaikan tarif Amerika Syarikat selain keadaan kewangan global yang lebih ketat, walaupun kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko ini seperti rasionalisasi subsidi, meluaskan asas hasil serta pengukuhan pengurusan fiskal melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam, kata Khor.

Beliau berkata usaha penyatuan fiskal Malaysia, ditambah dengan inisiatif jangka panjang seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, akan menyokong pertumbuhan yang mampan sambil meningkatkan kestabilan hutang awam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan