KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan Tren Khas ‘Excursion’ Tahun Baharu Cina yang akan beroperasi pada 27 dan 28 Jan ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan dua perjalanan khas pergi dan balik, dengan 792 tiket ditawarkan bagi tren khas yang menghubungkan Stesen KL Sentral dan Stesen Butterworth.
“Tiket-tiket akan mula dijual hari ini 21 Jan bermula 10 pagi, manakala tambang sehala bagi perjalanan ini serendah RM60 untuk tempat duduk kelas superior dan RM90 untuk tempat duduk kelas premier.
Selain itu, para penumpang juga bakal menikmati pengalaman unik melalui kemudahan koc bufet dan koc chillax, yang disediakan bagi memastikan perjalanan lebih santai dan menyeronokkan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa perkhidmatan tren khas yang diperkenalkan itu merupakan inisiatif KTMB melalui Kementerian Pengangkutan, bagi memenuhi keperluan perjalanan penumpang ke arah utara sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah yang panjang.
Menurut KTMB, tren khas ini akan memulakan perjalanan dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di tujuh stesen iaitu Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Bukit Mertajam, sebelum destinasi akhir tren di Stesen Butterworth.
“Pengguna boleh mendapatkan tiket secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, kaunter tiket, dan laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Rani Hisham berharap dengan adanya perkhidmatan tren khas itu, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta memberikan perjalanan yang lebih selesa, terutamanya untuk warga emas dan kanak-kanak.
-- BERNAMA