AM

PM ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA TRUMP, MAHU PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-AS

21/01/2025 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Donald J.Trump atas pelantikan rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47.

Anwar berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Trump bagi mengukuhkan hubungan teguh, saling melengkapi dan melihat ke hadapan antara Malaysia dan AS. 

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri turut mengundang Presiden itu ke Malaysia, sekali gus mengesahkan semula penglibatan baharu AS dengan rantau ini.

"Presiden Trump membawa pendekatan unik kepada menangani cabaran domestik dan global, dibuktikan oleh peranan pentingnya dalam membantu (pelaksanaan) gencatan senjata Gaza malah sebelum pelantikan rasminya.

"Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama dalam pada pentadbiran Trump berusaha untuk melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika," kata Anwar menerusi catatan Facebook hari ini.

Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden AS pada Isnin.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan