AM

KEPALA SINGA HASIL TANGAN SIFU SIOW JADI BURUAN MENJELANG TAHUN BAHARU CINA

22/01/2025 10:34 AM

 SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Menjelang Tahun Baharu Cina suasana di bengkel Wan Seng Hang Dragon and Lion Arts di Bandar Pinggiran Subang dekat sini kelihatan sibuk dengan pekerja bertungkus lumus menyiapkan ratusan tempahan kepala singa buatan tangan yang menjadi íkonik kepada masyarakat Tionghoa. 

Perniagaan yang diusahakan oleh Siow Ho Phiew atau lebih dikenali sebagai Sifu Siow itu sememangnya cukup dikenali, bahkan hasil kerja tangan beliau bukan sahaja dinanti dan didambakan pelanggan tempatan malah malah turut laris sehingga ke negara eropah dan Australia.

 Sifu Siow, 70, yang mula berkecimpung dengan pembuatan kepala singa sejak 1986 berkata beliau mula aktif dalam bidang tarian singa dan membuat kepala singa pada tahun 70-an tetapi bukan untuk tujuan komersial.

  "Asalnya saya juga main tarian singa dan saya perasan kepala singa ini agak berat serta mudah rosak kerana dibuat menggunakan buluh. Jadi, saya cuba buat sendiri kepala singa yang sesuai untuk kegunaan sendiri.

"Dari situ, saya mula bereksperimen dengan melihat rangka kepala patung singa lama sebelum terhasil rekaan sendiri yang dalam masa setahun mendapat maklum balas positif daripada rakan-rakan yang menyukai rekaan saya kerana lebih tahan lasak," katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya baru-baru ini.

Penerima anugerah Adiguru Kraf Negeri Selangor pada 2012 itu juga mengakui penghasilan kraf pembuatan kepala singa yang diusahakannya semakin tersohor dan terpaksa 'berkampung' di bengkel demi untuk menyiapkan tempahan yang diterima untuk perayaan kali ini.

Anak jati Selangor itu berkata untuk sambutan tahun ini, beliau menerima lebih 400 tempahan kepala singa dengan setiap satu mengambil masa kira-kira lapan hari disiapkan berdasarkan hiasan diminta pelanggan. 

Beliau berkata pembuatan kepala singa memerlukan kesabaran dan fokus yang tinggi untuk mendapatkan kualiti terbaik kerana penghasilannya membabitkan banyak peringkat.

"Wan Seng Hang kalau diterjemahkan secara kasar bermaksud 'sentiasa yang terbaik', oleh itu saya sentiasa cuba menambah baik hasil kerja di sini sehingga kami dikenali di serata dunia.

"Kami bersyukur orang ramai suka dengan hasil kerja tangan saya dan pekerja yang lain," katanya yang menggabungkan seni kraf tempatan dalam penghasilan kepala singa dengan menggunakan kain batik sebagai hiasan pada kepala dan badan boneka singa.

Ditanya mengenai harapannya dalam menyambut kedatangan tahun baharu kali ini, Sifu Siow berharap dirinya serta setiap orang menerima khabar yang baik dalam apa jua aspek kehidupan masing-masing. 

Perayaan Tahun Baharu Cina akan disambut pada 29 Jan dengan 2025 sebagai Tahun Ular yang menurut kalendar zodiak Cina, Tahun Ular dipercayai melambangkan sifat kepintaran dan kebolehan dalam menyusun strategi.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan