EKONOMI

KEPUTUSAN BNM KEKALKAN OPR PADA 3.0 PERATUS AKAN RANGSANG PERTUMBUHAN EKONOMI

22/01/2025 06:27 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Strategi Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini telah dirangka dengan teliti, kata pakar ekonomi.

Kalangan mereka juga berpandangan strategi BNM itu turut menekankan pertumbuhan ekonomi yang berterusan di samping memantau perkembangan kewangan dan geopolitik global.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pemantauan yang berhati-hati itu penting, walaupun bukan faktor tunggal, kerana bank pusat juga mengutamakan kestabilan mata wang.

“Menerusi pengekalan OPR pada paras yang stabil, BNM menyasar untuk melindungi ringgit daripada turun naik yang ketara, satu keperluan dalam keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang memberangsangkan dan pendirian Rizab Persekutuan AS yang semakin cenderung kepada kadar faedah tinggi.

“Dasar monetari yang berhati-hati ini dijangka berterusan sehingga 2025 memandangkan bank pusat menunggu isyarat ekonomi global yang lebih jelas sebelum membuat sebarang pelarasan ke atas kadar ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata menerusi strategi itu juga, BNM akan memastikan pendekatan monetari bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi malah juga mengekalkan kestabilan harga, sejajar dengan pelan ekonomi yang lebih luas dan menyesuai dengan jangkaan pasaran.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata OPR yang tidak berubah itu adalah sejajar dengan unjuran pihaknya, dan merupakan langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka 5.1 peratus pada 2024.

“Menerusi langkah mengekalkan OPR pada paras semasa, BNM menggalakkan pengembangan ekonomi di samping memastikan kos pinjaman kekal boleh urus bagi perniagaan dan pengguna.

“Kestabilan ini meningkatkan keyakinan perniagaan dan individu untuk melabur dan berbelanja, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata BNM juga meredakan tekanan inflasi dan pada masa sama mengelakkan pendirian dasar monetari yang terlalu ketat yang boleh mengekang aktiviti ekonomi.

Data inflasi terkini dari November 2024 menunjukkan kadar 1.8 peratus, menandakan inflasi masih terkawal.

Terutamanya memandangkan pelarasan terakhir OPR dibuat pada April 2023, apabila kadar dinaikkan sebanyak 0.25 peratus daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus.

Keputusan mengekalkan kadar ini memberi peluang kepada ekonomi untuk menyerap sepenuhnya kesan pelarasan itu, menunjukkan pendekatan yang seimbang tanpa menimbulkan sebarang tekanan yang tidak sepatutnya.  

"Walaupun terdapat kebimbangan potensi kesan inflasi susulan daripada pelarasan kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini, impaknya dijangka minimum.

“Peningkatan produktiviti membantu mengimbangi pelarasan gaji, dan pihak berkuasa memantau rapat harga barangan keperluan untuk memastikan ia kekal stabil,” katanya.

Di peringkat global, perkembangan hubungan perdagangan, terutamanya antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus menjadi tumpuan utama.

Dalam tempoh beberapa minggu lepas, tercetus kebimbangan kemungkinan tarif 60 peratus akan dikenakan AS ke atas import China.

Bagaimanapun, kebimbangan ini mereda susulan bayangan daripada Presiden AS Donald Trump bahawa tarif yang lebih rendah sebanyak 10 peratus sedang dipertimbangkan.

Walaupun berita ini melegakan seketika pasaran, namun mereka menjangkakan pengumuman seterusnya mengenai dasar perdagangan.

Memandangkan ketidaktentuan global seperti ini, Mohd Sedek berkata keputusan BNM untuk mengekalkan OPR adalah tepat, menyediakan kestabilan yang amat diperlukan disamping melindungi nilai ringgit.

“Pada masa depan kami mengunjurkan BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Namun begitu susulan pengembangan pesat global, BNM akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan pendekatannya mengikut keperluan.

"Keutamaan terus ditumpukan untuk mencapai keseimbangan yang sekata... mengelakkan reaksi berlebihan sambil memastikan ekonomi bersedia secukupnya untuk cabaran luar," kata Mohd Sedek.

Justeru, buat masa ini, katanya, mengekalkan OPR adalah keputusan yang wajar untuk menyokong kestabilan ekonomi dan trajektori pertumbuhan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan