GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan bayaran ganti rugi dan kos (termasuk faedah) berjumlah RM830,034.75 kepada tiga pemimpin kanan DAP.
Pembayaran itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang mendapati beliau memfitnah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dengan mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng, semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman 2023.
Pembayaran itu dibuat kepada firma guaman yang mewakili mereka semalam.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan hari ini untuk memutuskan sama ada Siti Mastura boleh menangguhkan pembayaran ganti rugi kepada ketiga-tiga plaintif.
Bercakap kepada wartawan melalui Zoom pagi ini, peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yussoff berkata perkara itu sepatutnya didengar di dalam kamar kerana terdapat perkembangan yang beliau perlu maklumkan kepada hakim.
"Bagaimanapun, saya ingin maklumkan dan saya rasa Datuk SN Nair (peguam ketiga-tiga pemimpin DAP) boleh bersetuju dan mengesahkan bahawa suatu perjanjian telah dibuat.
"Defendan, Siti Mastura telah membuat pembayaran ke akaun firma Nair seperti dalam jumlah penghakiman dengan syarat wang itu akan disimpan di dalam akaun peguam sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan, jadi ini adalah perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.
Nair kemudian mengesahkan pihaknya telah menerima cek lewat malam tadi dan jumlah tersebut termasuk faedah pada hari ini.
"Setakat hari ini, jumlahnya adalah RM830,034.75. Walaupun cek itu sudah tentu tertakluk kepada pengesahan, namun saya percaya cek itu boleh diterima.
"Anak guam saya berpuas hati. Kami boleh menerimanya dan oleh itu, kami akan merekodkan perjanjian ini. Dengan ini, kami akan mengeluarkan aku janji yang diperlukan dan meneruskannya," katanya.
Yusfarizal kemudiannya berkata notis rayuan telah difailkan dan Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Mac untuk pendengaran dan perkara itu kini berada di peringkat pengurusan kes.
Pada 4 Dis lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan Siti Mastura membayar RM750,000 kepada tiga pemimpin kanan DAP atas dakwaannya bahawa mereka mempunyai kaitan dengan pemimpin parti komunis.
Mahkamah memerintahkan Ahli Parlimen Kepala Batas itu membayar RM300,000, RM250,000 dan RM200,000 masing-masing kepada Kit Siang, Guan Eng dan Teresa selain mengenakan faedah tahunan lima peratus sekiranya Siti Mastura gagal membayar jumlah berkenaan dan juga memerintahkannya membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif.
Pada November 2023, ketiga-tiga pemimpin DAP telah mengemukakan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung kenyataan beliau yang didakwa dibuat semasa berceramah pada kempen PRK Kemaman bahawa mereka mempunyai kaitan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
-- BERNAMA