AM

MALAYSIA TELITI PERKEMBANGAN DASAR BAHARU TRUMP - MOHAMAD

23/01/2025 03:45 PM

SEREMBAN, 23 Jan (Bernama) -- Kabinet akan membincangkan perkembangan terkini berkaitan dasar baharu pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump termasuk cadangan tarif import yang akan dikenakan terhadap beberapa negara.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dalam hal ini, AS merupakan antara rakan dagang utama Malaysia khususnya menerusi eksport barangan elektrik dan elektronik ke negara berkenaan.

“Jadi kerajaan sedang menelitinya, Wisma Putra juga sedang teliti, kita melihat perkembangan terkini dan akan membawa ke Kabinet untuk dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Trump mengumumkan rancangannya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari China bermula 1 Feb.

Ancaman pelaksanaan tarif itu susulan pengumuman Trump pada Isnin bahawa beliau berhasrat  mengenakan 25 peratus duti ke atas import dari Kanada dan Mexico sebagai tindak balas terhadap kemasukan fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Malaysia berharap gencatan senjata di Gaza ketika ini bersifat kekal sekali gus menghentikan pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

“Kita sambut baik gencatan senjata yang diuruskan Qatar, Mesir dan AS, inilah yang kita desak supaya pembunuhan dihentikan. Kita berharap supaya bantuan kemanusiaan bukan sahaja makanan tapi perubatan akan segera dihantar, setakat ini pun banyak dah dihantar sejak pintu sempadan Rafah dibuka,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga telah berunding dengan Jepun untuk mengadakan persidangan termasuk bersama negara yang berkongsi pandangan sama berhubung cara mengumpulkan kewangan bagi membantu pembangunan semula Gaza.

“Kita akan anjur bersama dengan Jepun, sepatutnya pada Julai tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minta disegerakan tanpa menunggu Julai, jadi saya telah berhubung dengan rakan sejawat saya dan sedang menunggu respons daripadanya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan