Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 23 Jan (Bernama) -- Pihak berkuasa Singapura merampas kira-kira 860 kilogram sayuran segar yang diimport secara haram dari Malaysia dalam satu operasi bersama terhadap lori penghantaran di Pusat Pemeriksaan Tuas pada Rabu.
Semasa operasi itu, pegawai daripada Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesan percanggahan dalam konsainan yang diangkut sebuah lori dan merujuknya kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk pemeriksaan lanjut.
“SFA mendapati terdapat sayuran yang tidak diisytiharkan dan diisytiharkan kurang, seperti sawi, salad romaine dan daun pudina yang diimport oleh lima pengimport dalam lori tersebut. Semua hasil import haram dirampas,” menurut kenyataan bersama ICA dan SFA pada Khamis.
SFA sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Di Singapura, import makanan mesti mematuhi syarat yang ditetapkan SFA. Makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap konsainan perlu diisytiharkan serta disertakan permit import yang sah.
Mereka yang didapati bersalah mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 dan/atau penjara sehingga tiga tahun.
-- BERNAMA