KOTA KINABALU, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) fasa pertama akan dipasang di kawasan strategik sekitar Bandaraya Kota Kinabalu antaranya di sepanjang kawasan pantai, jalan raya tertentu dan kawasan perumahan yang berisiko.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata usaha pemasangan CCTV itu kini sedang dalam perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan akan bermula tahun ini.
Beliau berkata CCTV yang dilengkapi dengan Kecerdasan Buatan (AI) itu beroperasi melalui pusat arahan yang akan dikendalikan oleh pihak DBKK dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi tujuan pemantauan.
"CCTV itu akan memberikan maklumat ke pusat arahan dan akan zum ke CCTV mana yang mengeluarkan bunyi dan pergerakan luar biasa sebab kita dapati kecurian kabel elektrik disepanjang pantai Teluk Likas berlaku pada pukul 3 pagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) sempena sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak DBKK di sini hari ini.
Sabin berkata pemasangan CCTV itu juga adalah bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai, khususnya pelancong asing terjamin ketika mereka melawat Kota Kinabalu selain menjaga kebersihan kawasan sekitar bandar raya.
Beliau berkata pemasangan CCTV itu akan dapat membantu dalam menangani isu kecurian serta kerosakan harta benda di sekitar Kota Kinabalu.
Tambah beliau, DBKK juga akan mengenakan kompaun sebanyak RM30 kepada mana-mana individu atau pihak yang didapati membuang sampah selepas arahan larangan membuang sampah merata-rata tempat tidak diendahkan.
"Usaha ini sedikit sebanyak telah dapat meningkatkan tahap kebersihan di kawasan bandaraya Kota Kinabalu selain memastikan kecantikan landskap di bandaraya ini akan bertambah baik," katanya.
Sabin berkata DBKK juga telah membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi membiayai sebahagian daripada projek-projek landskap di DBKK.
-- BERNAMA