KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kalangan negara ASEAN boleh mencontohi langkah Malaysia untuk memperbaharui beberapa perjanjian perdagangan dua hala dengan negara rakan bagi meliputi elemen kemampanan dan dinamik perubahan landskap pelaburan global.
Felow Dasar Kanan bagi Tenaga dan Alam Sekitar di Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) Prof Jun Arima berkata penyerapan elemen kemampanan ke dalam perjanjian perdagangan adalah baik kerana perkara itu akan meningkatkan penembusan barang dan perkhidmatan mesra alam dalam perdagangan global.
“Jadi, pada pendapat saya, secara ringkasnya, negara ASEAN lain boleh belajar daripada Malaysia dan jika sesuai, negara-negara ini boleh mencontohi amalan baik itu,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan sama ada kalangan negara ASEAN perlu menyemak perjanjian perdagangan sedia ada masing-masing dengan Malaysia, dan memperbaharui perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada untuk merangkumi kemampanan, tenaga boleh baharu danekonomi digital.
Faktor kemampanan diunjurkan menjadi lebih penting memandangkan perkara itu dijangka dimasukkan dalam perjanjian perdagangan dan FTA yang akan ditandatangani antara ASEAN dan rakan global, terutama apabila piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) diamalkan dalam perniagaan, termasuk sektor perbankan.
Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dan melaksanakan 16 FTA, tujuh daripadanya adalah bersifat dua hala dan sembilan yang lain adalah perjanjian serantau.
Pada Oktober, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata Malaysia berhasrat menambah baik dan memuktamadkan beberapa FTA sedia ada dengan negara seperti China, India serta kalangan negara ASEAN.
Beliau berkata langkah itu dilakukan untuk memanfaatkan landskap ekonomi global yang sentiasa berubah, terutama apabila Malaysia mengambil alih jawatan sebagai pengerusi ASEAN.
Malaysia secara rasmi akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN dari Laos pada 1 Jan, 2025.
-- BERNAMA