ALOR SETAR, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah melaksanakan 35 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bermula 22 hingga 30 Jan di seluruh negeri Kedah.
Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata PJRM Kembali ke Sekolah turut dilaksanakan di premis pasar raya terpilih sepanjang musim cuti persekolahan ini.
“Program Kembali ke Sekolah menawarkan potongan harga 10 peratus hingga 30 peratus barangan sekolah bagi membantu ibu bapa membeli kelengkapan sekolah anak-anak seperti seragam sekolah dan pakaian seragam ko-kurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sini, hari ini.
Muhammad Nizam berkata KPDN Kedah berjaya melaksanakan 525 PJRM, melebihi sasaran 345 program ditetapkan pada 2024, melibatkan jumlah subsidi lebih RM7.12 juta.
Sementara itu beliau berkata sebanyak enam kes daripada 92 aduan berjaya direkodkan KPDN Kedah bermula 1 hingga 25 Jan (hari ini), melibatkan kesalahan harga dan barangan kawalan di daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Langkawi.
Muhammad Nizam berkata di Alor Setar terdapat tiga kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dua kes di Sungai Petani melibatkan harga dan barang kawalan, iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala di Langkawi satu kes direkodkan yang melibatkan barang kawalan.
-- BERNAMA