KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk melakukan kajian menyeluruh terhadap Waktu Bekerja Bukan Pejabat (WBBP) bagi semua petugas kesihatan.
Setiausaha Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung (MAPSU) Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia Reostam Dhazar berkata ini kerana petugas kesihatan, khususnya yang bertugas dalam persekitaran bukan pejabat seperti hospital, klinik kesihatan dan kawasan luar bandar, berdepan cabaran unik yang memerlukan perhatian dan penyelesaian tuntas.
Sehubungan itu, MAPSU mencadangkan agar KKM menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan wakil kesatuan sekerja, petugas kesihatan dan pakar berkaitan bagi memastikan kajian tersebut merangkumi pelbagai aspek penting.
“Antara aspek yang dicadangkan adalah keberkesanan waktu bekerja terhadap keseimbangan kerja-hidup (work-life balance), keselamatan dan kesihatan petugas kesihatan di tempat kerja, kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Selain itu, kajian juga perlu melihat kepada soal penjadualan waktu kerja yang adil dan munasabah untuk semua kategori petugas kesihatan dan pada masa yang sama waktu bekerja 42 jam seminggu yang telah ditetapkan sebelum ini perlu dikekalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ini kerana cadangan peningkatan waktu bekerja kepada 45 jam seminggu sebelum ini hanya akan menambah tekanan kepada petugas kesihatan.
Selain itu sebarang tambahan jam bekerja katanya hanya akan memburukkan lagi keadaan tekanan kerja dan menjejaskan kesejahteraan petugas kesihatan, yang seterusnya boleh memberi kesan negatif kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Reostam berkata MAPSU akan terus komited bekerjasama dengan pihak KKM untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan petugas kesihatan sentiasa terpelihara demi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan semalam memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Dr Dzulkefly berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala pertimbangan dan susulan itu KKM menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Abu Bakar Suleiman.
-- BERNAMA