Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mahu setiap pegawai awam menyumbang tenaga dan buah fikiran bernas dalam memastikan kepimpinan Malaysia menerajui ASEAN 2025 tidak disia-siakan bagi memastikan negara meraih manfaat pelaburan serta perdagangan.
Beliau berkata Malaysia menggalas tanggungjawab penting selaku Pengerusi ASEAN dan ia melibatkan imej serta nama baik negara selain keupayaan menerajui perancangan untuk memacu pembangunan, pertumbuhan serantau secara kolektif dalam mewujudkan ASEAN yang aman, stabil dan makmur.
"Sebagai pegawai awam, kita berperanan untuk memastikan Malaysia meninggalkan legasi yang positif dan bermakna untuk tahun-tahun akan datang, baik di rantau Asia Tenggara mahupun di peringkat global," katanya dalam sesi temu bual pada Jumaat.
Wan Ahmad Dahlan berkata pegawai awam yang terlibat perlu memastikan setiap program, projek dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat serta membuahkan hasil dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk ASEAN.
Beliau berkata Malaysia akan dilihat sebagai negara yang tidak mampu memimpin ASEAN sekiranya pegawai awam tidak bersedia dan memberi prestasi lebih rendah berbanding Pengerusi ASEAN sebelum ini.
"Menjadi tekad perkhidmatan awam untuk bergerak sebagai satu pasukan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ia memberi manfaat untuk menonjolkan negara dari segi kebolehan, kepimpinan dan sekali gus membawa imej baik negara ke peringkat antarabangsa," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipertanggungjawabkan sebagai titik fokus bagi ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) yang menjadi platform perkongsian maklumat, inovasi dan amalan terbaik dalam pengurusan perkhidmatan awam dalam kalangan negara anggota.
Beliau berkata ia juga menggalakkan kerjasama berkesan dan saling membantu dalam meningkatkan pembangunan modal insan yang secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jurang pembangunan dalam kalangan negara anggota.
Program dan inisiatif dilaksanakan ACCSM berpandukan pelan kerja yang dirangka setiap lima tahun, antaranya bidang keutamaan termasuk reformasi dan pemodenan sektor awam.
"Lanjutan itu, JPA akan menganjurkan ‘ASEAN Conference on Future-Ready Public Service’ pada 7 hingga 8 Okt 2025. Tujuan utama program ini sebagai platform perkongsian pengetahuan, idea dan pengalaman dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam membentuk perkhidmatan awam yang bersedia untuk masa hadapan," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata penganjuran persidangan itu akan disusuli pemeteraian ASEAN Declaration on Future-Ready Public Service yang antara lain akan menggariskan komitmen ketua-ketua perkhidmatan awam negara anggota ASEAN dalam membentuk perkhidmatan awam yang bersedia untuk masa hadapan dengan memanfaatkan digitalisasi serta teknologi termaju seperti kecerdasan buatan.
Mengenai seruan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar penilaian awal kemahiran Bahasa Inggeris terhadap pegawai yang terlibat, Wan Ahmad Dahlan berkata Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan memulakan penilaian dari segi kompetensi pegawai awam dalam waktu terdekat agar latihan khusus dapat diberikan mengikut kesesuaian.
"Sebenarnya ramai pegawai awam boleh berbahasa Inggeris, itu bukan isu utama. Tapi untuk Kepengerusian ASEAN ini kita perlu mantapkan lagi kebolehan mereka dan INTAN akan hasilkan kursus intensif bagi memastikan mereka boleh berinteraksi dengan pegawai dari negara lain dengan lebih baik," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata INTAN sebagai institut latihan awam (ILA) terbesar di dalam negara kini menggalas tanggungjawab berat untuk menerajui Razak School of Government agar setanding Lee Kuan Yew School of Public Policy di Singapura.
Beliau berkata INTAN di bawah seliaan JPA akan melihat kepada kursus di peringkat antarabangsa dan melatih pegawai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan-badan berkanun serta pimpinan tertinggi perkhidmatan awam.
-- BERNAMA