AM

LEBIH 10,000 SERTAI MAIWP RUN 2025 DI DATARAN PUTRAJAYA

26/01/2025 11:08 AM

PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ) hari ini  menganjurkan acara larian komuniti, MAIWP RUN 2025, yang berlangsung meriah di Dataran Putrajaya.

Acara edisi ketiga ini mencatatkan rekod penyertaan sebanyak 10,123 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk peserta antarabangsa.

Pengerusi MAIWP Syed Kamaruzaman Syed Kabeer berkata sambutan pada tahun ini adalah yang terbesar sejak acara ini diperkenalkan pada 2023.

“Kami bukan sahaja menerima peserta dari Malaysia, tetapi juga dari negara lain seperti India, Vietnam, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Australia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut beliau, MAIWP RUN 2025 diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan dan inisiatif kebajikan MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam komuniti.

Acara tersebut menawarkan empat kategori jarak larian, iaitu 21 kilometer (km) yang disertai 2,000 peserta, 10km (1,741 peserta), 5km (2,617 peserta) dan 3km (3,765 peserta).

Syed Kamaruzaman berkata acara kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan golongan wanita serta individu daripada komuniti orang kurang upaya (OKU).

“Selain memperkenalkan MAIWP dan PPZ-MAIWP kepada masyarakat, acara ini juga mencerminkan kejayaan institusi zakat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa kutipan zakat tahun ini mencatatkan jumlah yang membanggakan.

“Kami berjaya mengutip sebanyak RM1.113 bilion zakat, dan pengagihannya pula melebihi jumlah kutipan, menunjukkan betapa pentingnya program sebegini untuk mendekatkan masyarakat dengan peranan MAIWP dan PPZ-MAIWP,” tambah beliau.

MAIWP RUN 2025 sekali lagi membuktikan kemampuan institusi Islam untuk menyatukan masyarakat sambil memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan kesihatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan