KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 100 pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang profesional di seluruh negara dijangka menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata setiap daripada mereka akan menerima sehingga RM50,000 untuk melaksanakan program pembangunan kepimpinan dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata program itu antara lain dirangka untuk merapatkan jurang antara jantina yang ketara dalam kepimpinan.
“Walaupun wanita cemerlang dalam bidang akademik, kejayaan ini masih belum diterjemahkan kepada kepimpinan ekonomi dan politik, dan peratusan pencapaian masih kekal rendah secara tidak seimbang.
“Inisiatif ini bertujuan untuk mengubah trend itu, dengan menyediakan bimbingan, sumber dan platform untuk pemimpin wanita terus berkembang,” katanya semasa berucap pada program Wanita dalam Ekonomi Oren (WIOE) di sini hari ini.
Nancy berkata dengan melabur dalam inisiatif seperti PERANTIS, kita meletakkan asas dan mewujudkan persekitaran untuk masa depan, bagi membolehkan wanita memimpin dengan kekuatan, ketabahan dan inovasi.
“Produk paling berharga yang dihasilkan bukanlah bersifat material, tetapi pemimpin yang memberi inspirasi, memacu perubahan dan meningkatkan komuniti mereka,” katanya.
-- BERNAMA